Ka Siong Dakwa Sekali Lagi Dirujuk Ke Jawatankuasa Hak Dan Kebebasan Parlimen

KUALA LUMPUR: Presiden MCA, Datuk Seri Ir Dr Wee Ka Siong mendakwa sekali lagi dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen susulan usul dikemukakan Ahli Parlimen Kampar, Chong Zhemin, berhubung ucapannya ketika perbahasan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat pada 14 Oktober lalu.

Wee yang juga Ahli Parlimen Ayer Hitam berkata, usul berkenaan dibuat atas dakwaan beliau mengeluarkan kenyataan mengelirukan ketika membangkitkan isu dakwaan seorang menteri di Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) ‘menyeleweng’ RM2.1 bilion.

Menerusi hantaran di media sosial, beliau menyifatkan perkara itu sebagai tuduhan tidak berasas dan mendakwa ia merupakan kali keempat Chong berusaha merujuknya ke jawatankuasa berkenaan kerana menyuarakan isu berkaitan kebajikan serta kepentingan rakyat.

“Ini berkenaan ucapan Perbahasan Belanjawan 2027 saya pada 14 Oktober lalu, yang ada membangkitkan isu dakwaan ‘Menteri KKDW yang dikatakan sakau RM2.1 bilion’,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Menurut Wee, beliau membangkitkan perkara itu berdasarkan kenyataan media Ketua Setiausaha Perbendaharaan bertarikh 1 September 2026 yang memaparkan peruntukan diluluskan bagi projek jalan luar bandar serta perbelanjaan sebenar bagi tempoh 2022 hingga 2026.

Beliau menjelaskan bahawa setiap pindaan peruntukan perlu mendapat kelulusan Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan Kementerian Kewangan (MOF).

“Mana mungkin menteri ‘sakau’ peruntukan kecuali dengan persetujuan MOF?” katanya.

Bagaimanapun, Wee berkata, beliau akan memberikan penjelasan dan kerjasama sepenuhnya kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat berhubung perkara itu.

Beliau turut mengkritik tindakan Chong yang didakwanya cuba menyekat suaranya daripada membangkitkan isu berkepentingan awam.

“Chong Zhemin, sila teruskan usaha gigih kamu untuk sekat suara saya. Tetapi jangan lupa, rakyat sedang menilai perbuatan kamu,” katanya.

Wee turut mendakwa semua usaha sebelum ini untuk merujuknya ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen tidak berjaya selepas penjelasan yang diberikan kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat diterima dan didapati mematuhi peraturan.

Dalam surat bertarikh 16 Oktober 2026 kepada Pejabat Setiausaha Dewan Rakyat, Chong mengemukakan usul supaya Wee dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen berhubung kenyataannya ketika perbahasan di Dewan Rakyat pada 14 Oktober lalu.

Usul itu merujuk Peraturan Mesyuarat 36(12) Dewan Rakyat, yang menyentuh kenyataan mengelirukan Dewan dan membolehkan seseorang ahli dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan atas kesalahan berkenaan.

Dalam surat tersebut, Chong memetik kenyataan Wee yang menjelaskan bahawa keputusan berkaitan perolehan dan perubahan kos perlu melalui proses kelulusan MOF, termasuk kemungkinan kementerian mengenakan syarat tambahan atau menukar kontraktor.

Chong mendakwa kenyataan itu memberikan gambaran bahawa perbelanjaan lebihan KKDW telah mendapat kelulusan MOF sebelum dibelanjakan dan dimasukkan dalam belanjawan tambahan.

Beliau turut menyatakan bahawa semakan terhadap penyata rasmi Parlimen tidak menemukan belanjawan tambahan bagi KKDW untuk tahun 2023 dan 2024 yang dibentangkan serta diluluskan Parlimen.

Sehubungan itu, Chong meminta Yang di-Pertua Dewan Rakyat mempertimbangkan usul berkenaan supaya Wee dirujuk kepada jawatankuasa terbabit.

Bagaimanapun, setakat maklumat dalam surat bertarikh 16 Oktober itu, tiada pengesahan diberikan bahawa usul berkenaan telah diluluskan atau Wee secara rasmi telah dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.

BBerkaitan

Latest articles