LINGGI — Masyarakat Orang Asli Kampung Pelebar Baharu berharap kerajaan memberikan perhatian lebih serius terhadap pembangunan pertanian dan penyelenggaraan infrastruktur bagi membantu meningkatkan taraf ekonomi penduduk setempat.
Ketua Orang Asli Kampung Pelebar Baharu, Temu Tiot, 57, berkata kebanyakan penduduk bergantung kepada hasil kebun, manakala golongan muda terpaksa mencari pekerjaan di luar kampung termasuk dalam sektor perhotelan dan kontrak.
Menurutnya, kampung yang didiami hampir 200 penduduk itu telah dibuka kira-kira 11 tahun lalu.
“Pendapatan kebanyakan penduduk tidak melebihi RM1,000 lebih sebulan. Dengan harga barangan yang semakin meningkat, kos sara hidup sekarang memang menekan masyarakat kami,” katanya ketika ditemui di sini.
Temu berkata bantuan tunai RM100 yang diterima belum cukup untuk memberikan kelegaan bermakna kepada keluarga Orang Asli, terutama ketika harga barangan keperluan harian terus meningkat.
“RM100 itu kalau digunakan untuk membeli beras dan minyak sahaja sudah habis. Jadi, bantuan itu belum benar-benar dapat meringankan beban kami,” katanya.
Bagaimanapun, beliau menghargai bantuan yang disalurkan kerajaan menerusi Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), khususnya dalam bidang pendidikan dan kebajikan masyarakat.
Dalam pada itu, Temu berharap masalah kebun yang sering dilanda banjir serta keadaan jalan kampung yang mendap dapat diberikan perhatian segera oleh pihak berkuasa.
Katanya, masalah banjir di kawasan kebun telah berlarutan sejak penduduk berpindah ke kampung berkenaan kira-kira 11 tahun lalu, sekali gus menjejaskan sumber pendapatan mereka.
“Laporan telah dibuat kepada Pejabat Tanah dan JAKOA, tetapi penyelesaiannya masih belum berkesan. Kami juga sudah beberapa kali memohon bantuan untuk membaiki jalan yang mendap, namun dimaklumkan peruntukan tidak mencukupi,” katanya.
Temu berkata sektor pertanian, termasuk tanaman kelapa sawit, merupakan nadi ekonomi penduduk dan memerlukan sokongan berterusan supaya hasil kebun dapat dipertingkatkan.
“Harapan kami, sesiapa sahaja yang diberikan mandat perlu membantu masyarakat ini mendapatkan peruntukan yang diperlukan. Kami sangat memerlukan bantuan kerana ekonomi penduduk bergantung kepada pertanian.
“Kalau tanaman kelapa sawit tidak berkembang dan hasilnya tidak baik, ekonomi masyarakat kami akan merundum,” katanya.
Beliau turut berharap wakil rakyat dan pemimpin politik lebih kerap turun padang untuk mendengar serta menyelesaikan permasalahan penduduk, bukan sekadar hadir ketika berlangsungnya program atau musim pilihan raya.
Menurut Temu, kemudahan asas di Kampung Pelebar Baharu secara keseluruhannya berada dalam keadaan baik, namun bantuan berkaitan pertanian, tebatan banjir dan penyelenggaraan jalan masih menjadi keutamaan masyarakat.
“Kami tidak berbelah bahagi. Sesiapa sahaja yang menang, harapan kami tetap sama, iaitu bantulah masyarakat Orang Asli dan berikan perhatian kepada permohonan yang telah dikemukakan,” katanya.










