Masjid Bukan Gelanggang Politik

MARAN: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Adulllah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini mengingatkan semua pihak untuk tidak menjadikan masjid sebagai gelanggang politik demi meraih kepentingan tertentu.

“Jangan sekali-kali menjadikan masjid sebagai sebuah gelanggang politik,” demikian titah baginda ketika berkenan berangkat dan merasmikan Masjid Baharu Bandar Tun Abdul Razak Jengka Sempena Memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan baginda Yang Ke-63 hari ini.

Dalam titahnya juga, Yang di-Pertuan Agong mahu pengurusan masjid di negara ini sentiasa berusaha untuk mengimarah dan menjadikan rumah Allah sebagai tempat berhimpun bagi umat islam membentuk ikatan dalam hubungan manusia dengan tuhan dan sesama manusia.

“Selain itu, pengurusan masjid juga hendaklah lebih giat memikat golongan pemuda dan remaja untuk turut terlibat dalam mengimarahkan masjid,” titah Seri Paduka.

Tambah Seri Paduka, peranan masjid juga boleh dikembangkan dengan pelbagai fungsi lain termasuk sebagai pusat aktiviti ekonomi, kesukanan, persatuan, pembelajaran dan kemasyarakatan.

Turut berangkat, Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hasanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Majlis turut dihadiri, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Dan Pendidikan Negeri Pahang, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad, barisan Exco Negeri Pahang dan pemimpin setempat.

Pada majlis terbabit, Seri Paduka juga berkenan mengisytiharkan Masjid Baharu Bandar Tun Abdul Razak Jengka itu sebagai masjid daerah yang baharu dengan nama Masjid Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

BBerkaitan

Latest articles