‘Manipulasi Isu Kaum dan Agama, Zahid Mahu Jadi PM?’ PKR Dakwa Kerjasama BN-PN Bermotif Tumbangkan Anwar

KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda PKR, Kamil Munim mendakwa kerjasama terbuka antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan bukan bertujuan membela nasib rakyat, sebaliknya didorong agenda politik untuk membina laluan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menjadi Perdana Menteri serta mencabar kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut beliau, kerjasama itu turut disifatkan sebagai percaturan politik yang menggunakan sentimen kaum dan agama bagi meraih sokongan pengundi Melayu, sekali gus membina momentum menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Kamil yang juga Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan merangkap Perdana Menteri mendakwa, strategi tersebut menyerupai episod kejatuhan kerajaan pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad apabila gabungan politik dibentuk semata-mata untuk mengambil alih kuasa sebelum akhirnya berpecah kerana perebutan kepentingan.

“Zahid nak jadi Perdana Menteri berpakat dengan pembangkang untuk bina momentum menjatuhkan Anwar. Mereka memanipulasi isu kaum dan agama bagi meraih sokongan orang Melayu.

“Hakikatnya, modus operandi ini sama seperti ketika Dr Mahathir disingkirkan. Selepas itu, mereka pula akan bercakaran untuk berebut kuasa,” katanya memetik FMT.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kerjasama BN dan PN pada PRN Negeri Sembilan yang menyaksikan kedua-dua gabungan itu membahagikan 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), dengan BN bertanding di 25 kerusi manakala PN di 11 kerusi.

Sebelum ini, Ahmad Zahid menyifatkan kerjasama tersebut sebagai medan menguji formula penyatuan Melayu dan Islam yang berpotensi menjadi asas kepada pembentukan jajaran politik baharu menjelang PRU16.

Presiden UMNO itu turut menyeru pengundi memberi sokongan kepada calon BN dan PN dengan menyifatkan PRN Negeri Sembilan sebagai peluang untuk “membetulkan keadaan” di peringkat negeri sebelum diterjemahkan ke peringkat nasional.

Dalam perkembangan berkaitan, Angkatan Muda Harapan (AMH) semalam menggesa semua menteri dan timbalan menteri daripada BN meletakkan jawatan daripada Kabinet susulan kerjasama terbuka parti itu dengan PN.

Gabungan sayap pemuda Pakatan Harapan (PH) itu mendakwa tindakan BN bersekutu dengan pembangkang menimbulkan persoalan terhadap komitmen sebenar parti berkenaan dalam Kerajaan Perpaduan.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim, berpandangan kerjasama politik sedemikian adalah perkara biasa dalam landskap politik negara.

Menurut wakil rakyat PKR itu, PH tidak seharusnya merungut kerana BN sebelum ini juga pernah bekerjasama dengan PH selepas gabungan itu menewaskan BN pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Beliau berkata, jika BN boleh membentuk kerajaan bersama PH, tiada sebab parti itu tidak boleh bekerjasama dengan PN dalam usaha merampas pentadbiran Negeri Sembilan.

Mengulas lanjut, Kamil turut mendakwa hubungan antara parti-parti pembangkang sentiasa berubah mengikut kepentingan politik semasa, merujuk kepada pertikaian yang pernah berlaku antara PAS dan Bersatu sebelum ini.

“Tiada sahabat dan lawan yang kekal dalam politik. Apa yang kekal ialah kepentingan. Jelas sekali keutamaan mereka adalah mendapatkan kuasa. Mereka dengan cara mereka, kita dengan cara kita,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles