KULAI: Pakatan Harapan (PH) menegaskan pelancaran manifesto Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada hari keenam kempen bukanlah satu kelewatan, sebaliknya disifatkan sebagai waktu paling sesuai selepas semua tawaran diperhalusi mengikut keperluan rakyat negeri itu.
Naib Presiden PKR, Datuk Chang Lih Kang, berkata penyediaan manifesto memerlukan penelitian yang teliti, lebih-lebih lagi selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dibubarkan secara mengejut sehingga memberi ruang yang terhad untuk merangka tawaran terbaik.
Menurut beliau, PH memilih untuk tidak tergesa-gesa kerana mahu memastikan manifesto yang dibentangkan benar-benar berasaskan kajian dan realiti di lapangan.
“Ada parti yang langsung tidak mengemukakan manifesto. Bagi kita pula, pembubaran DUN dibuat secara mengejut, jadi kita memerlukan sedikit masa untuk membuat kajian sebelum melancarkan manifesto.
“Hari ini, ketika kempen sedang berlangsung, adalah masa yang paling sesuai untuk memperkenalkan tawaran kita kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Manifesto DUN Bukit Batu di Bilik Gerakan Utama DUN Bukit Batu, Taman Impiana, Kelapa Sawit, hari ini.
Turut hadir calon PH bagi DUN Bukit Batu, Arthur Chiong Sen Sern.
Mengulas lanjut, Chang berkata Bukit Batu tampil dengan manifesto khas dikenali sebagai “7 Tekad Untuk Bukit Batu”, yang memfokuskan penyelesaian terhadap isu dan keperluan setempat.
Katanya, bukan semua kawasan yang ditandingi PKR mempunyai manifesto tersendiri kerana inisiatif itu bergantung kepada cabang parti di kawasan masing-masing.
Beliau yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi memaklumkan selain Bukit Batu, kawasan DUN Skudai dan Perling turut melancarkan manifesto khusus untuk pengundi di kawasan berkenaan.
Terdahulu, PH melancarkan manifesto PRN Johor bertemakan “Johor Untuk Semua” yang mengandungi 10 tawaran utama merangkumi usaha menangani kos sara hidup, memperluas pemilikan rumah, mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan, memperkukuh sektor pendidikan dan kesihatan serta merancakkan pembangunan ekonomi negeri.
Manifesto itu diperkenalkan pada hari keenam kempen dengan sasaran meningkatkan kesejahteraan rakyat selain mengukuhkan kedudukan Johor sebagai antara enjin pertumbuhan ekonomi utama negara.










