Malaysia Kekal Pendirian Tolak Keganasan Konflik Bersenjata – Agong

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah Malaysia menolak segala bentuk keganasan dalam konflik bersenjata yang berlaku di pelbagai pelosok dunia ketika ini.

Seri Paduka bertitah keganasan itu termasuk pengeboman terhadap orang awam, hospital dan sekolah, serta pemotongan bekalan air, elektrik dan makanan kepada orang awam.

“Sebagai sebuah negara yang berdaulat dan merdeka, menjadi tanggungjawab kita untuk menolak bentuk keganasan yang bertentangan dengan norma kemanusiaan antarabangsa. Barisan kepimpinan termasuk pemimpin dalam bidang keselamatan dan pertahanan hendaklah berpegang teguh kepada prinsip keamanan dan kemanusiaan sejagat.

“Beta khuatir, jika kita tidak menerapkan prinsip itu mulai sekarang, nescaya sebarang pertikaian pada masa hadapan akan berakhir dengan konflik bersenjata yang mengetepikan segala bentuk rasional kemanusiaan,” titah Yang di-Pertuan Agong.

Al-Sultan Abdullah bertitah demikian pada sidang pertama Istiadat Konvokesyen ke-13 Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) di Pusat Dagangan Dunia di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Mohammad Ab Rahman dan Naib Canselor UPNM Lt Jen Datuk Mardzuki Muhammad.

Seri Paduka bertitah mengambil kira konflik bersenjata yang sedang berlaku itu, UPNM wajar dijadikan sebagai sebuah pusat utama dalam menerapkan kefahaman dan pematuhan masyarakat serta pemimpin masa hadapan negara terhadap undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

Al-Sultan Abdullah yang juga Canselor UPNM bertitah hal ini kerana undang-undang antarabangsa merupakan peraturan yang menekankan kepada elemen kemanusiaan dalam mengawal kesan buruk akibat konflik bersenjata dan peperangan.

“Dalam era yang mencabar ini, peranan institusi pengajian tinggi menuntut anjakan paradigma baharu ke arah kecemerlangan sebagai institusi sandaran rakyat dan negara.

“UPNM sebagai sebuah universiti pertahanan premier di rantau ini bertanggungjawab untuk melahirkan pemimpin masa depan dalam menjayakan dan mempertahankan kelangsungan kepentingan strategik negara,” titah Seri Paduka.

Sehubungan itu, Al-Sultan Abdullah bertitah UPNM perlu mendepani cabaran realiti geopolitik semasa dengan bijaksana dan sentiasa meneroka serta mengenal pasti bidang baharu dalam landskap keselamatan dan pertahanan.

Konvokesyen kali ini menganugerahkan ijazah dan diploma kepada 1,490 graduan merangkumi 11 penerima Ijazah Doktor Falsafah (PhD), 93 (Ijazah Sarjana), 986 (Sarjana Muda) dan 400 (Diploma).

UPNM turut menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah kepada bekas Panglima Angkatan Tentera iaitu Jen (B) Tan Sri Azizan Ariffin dalam bidang Kejuruteraan Aeronautik dan Jen (B) Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin dalam bidang Strategik dan Hubungan Antarabangsa.

Bekas Duta Besar Emiriah Arab Bersatu (UAE) ke Malaysia Datuk Khalid Ghanim Mohammed AlGhaith pula menerima anugerah berkenaan dalam bidang Hubungan Antarabangsa.

Istiadat kali ini turut menyampaikan Hadiah Akademik 2023 kepada 60 graduan Ijazah Doktor Falsafah, Ijazah Sarjana, Ijazah Sarjana Muda dan Diploma. – BERNAMA

BBerkaitan

Latest articles