KUALA LUMPUR: Malaysia dan Bangladesh bersetuju memperhebat kerjasama menerusi platform ASEAN bagi mencari penyelesaian menyeluruh terhadap krisis pelarian Rohingya yang berlarutan sejak sekian lama, termasuk melibatkan pihak berkuasa Myanmar dalam usaha tersebut.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kedua-dua negara berkongsi pendirian yang sama dalam menangani isu kemanusiaan itu dan akan menggunakan saluran diplomatik sedia ada bagi mempercepatkan usaha mencari jalan penyelesaian yang mampan.
Menurut beliau, kerjasama berkenaan akan digerakkan melalui kementerian luar kedua-dua negara serta mekanisme ASEAN dengan penglibatan Myanmar bagi menangani pelbagai isu berkaitan pelarian Rohingya.
“Kedua-dua negara mempunyai komitmen yang kukuh untuk membantu menyelesaikan nasib pelarian Rohingya yang kini berlindung di Bangladesh dan Malaysia,” katanya pada sidang media bersama Perdana Menteri Bangladesh, Tarique Rahman, hari ini.
Dalam perkembangan sama, Tarique menzahirkan kebimbangan terhadap keadaan kemanusiaan yang masih dihadapi masyarakat Rohingya di Bangladesh, selain menghargai peranan Malaysia yang terus menyokong usaha penghantaran pulang pelarian ke Myanmar.
Beliau berkata, Bangladesh berharap proses repatriasi dapat dilaksanakan secara selamat, bermaruah dan berterusan demi menjamin masa depan komuniti Rohingya yang terjejas.
“Saya juga merakamkan penghargaan kepada Malaysia atas sokongan berterusan dalam memastikan usaha penghantaran pulang pelarian Rohingya ke Myanmar dapat dilaksanakan secara selamat, bermaruah dan mampan,” katanya.
Terdahulu, Anwar dan Tarique mengadakan pertemuan dua hala bagi menilai kemajuan hubungan Malaysia-Bangladesh serta meneroka ruang kerjasama baharu dalam pelbagai sektor strategik.
Antara bidang yang dibincangkan termasuk perdagangan dan pelaburan, pengurusan tenaga kerja, industri semikonduktor, tenaga, pertanian serta pendidikan.
Kedua-dua pemimpin turut bertukar pandangan mengenai beberapa isu serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama.
Sebagai simbol pengukuhan hubungan dua hala, kedua-dua negara turut menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) dalam bidang kebudayaan selain dua pertukaran nota berkaitan penyelidikan antikeganasan serta promosi dan pemudahcaraan pelaburan.
Tarique yang tiba di Malaysia malam tadi sedang dalam rangka lawatan rasmi selama dua hari atas jemputan Anwar. Lawatan itu juga merupakan kunjungan rasmi dua hala pertama beliau ke luar negara sejak mengambil alih jawatan Perdana Menteri Bangladesh pada Februari lalu.
Dari sudut ekonomi, hubungan perdagangan antara Malaysia dan Bangladesh terus menunjukkan perkembangan positif apabila nilai dagangan dua hala pada tahun 2025 mencecah RM12.18 bilion (USD2.84 bilion).
Daripada jumlah itu, eksport Malaysia ke Bangladesh bernilai RM10.08 bilion (USD2.35 bilion), sebahagian besarnya melibatkan produk petroleum, manakala import dari negara Asia Selatan itu berjumlah RM2.10 bilion (USD500 juta) yang terdiri daripada tekstil, pakaian dan kasut.
Bangladesh kini merupakan rakan dagang ke-28 terbesar Malaysia di dunia serta rakan dagang kedua terbesar negara di rantau Asia Selatan selepas India.










