KUALA LUMPUR: Sedar akan kekuatan parti masih lagi perlu dimantapkan, maka Warisan menegaskan yang ia tidak akan bertanding di semua 222 kerusi Parlimen di seluruh negara pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan datang.
Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata pihaknya menyedari kekuatan parti itu dan merancang fokus kepada beberapa kerusi yang dilihat mampu dimenanginya.
Bekas Ketua Menteri Sabah memberitahu kerusi ‘boleh menang’ Warisan akan diumumkan di masa akan datang.
“Seperti disebutkan sebelum ini, kita takkan bertanding semua 222 kerusi Parlimen kerana kita sedar kekuatan dan keupayaan parti ini dan semua itu perlu diukur.
“Kita perlu tertib dan teliti secara mendalam, daripada bertanding banyak kerusi tetapi tidak menang, lebih baik kami fokus bertanding di dua atau tiga kerusi saja yang boleh memberi kemenangan,” katanya pada sidang media hari ini selepas melancarkan Parti Warisan Negeri Kedah.
Turut hadir adalah Pengerusi WARISAN Kedah, Datuk Fadzil Hanafi dan Timbalannya, Dr Mohamed Ibnu Hassan Thalha.
Mengulas lanjut, Mohd Shafie berkata, pihaknya kini dalam proses mengukuhkan kedudukan parti itu dan belum merancang membentuk kerjasama politik baharu bersama gabungan tertentu.
Katanya, ia penting bagi membuktikan bahawa parti itu mempunyai kekuatan sendiri, tanpa perlu berharap kepada parti lain untuk bertapak terutamanya di peringkat nasional.
“Ramai berhubung (untuk bekerjasama), itu perkara biasa, tetapi buat masa ini kita mahu kukuhkan rumah sendiri yang tangganya kena culik, tingkap kena beli, kena dibaiki dahulu dan dimantapkan.
“Tidak ada erti kita bergabung dalam keadaan parti masih belum mantap, kita tidak mahu menumpang kepada parti lain seakan kita mengemis hingga akhirnya timbul masalah di kemudian hari,” katanya.