BATU PAHAT: Seorang pesara dijatuhi hukuman penjara 33 tahun dan 14 sebatan oleh Mahkamah Sesyen hari ini selepas mengaku bersalah atas lima pertuduhan membabitkan rogol dan amang seksual fizikal terhadap dua cucu perempuannya tahun lalu.
Hakim Mohd Khairi Haron menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh berusia 67 tahun selepas lelaki terbabit mengaku bersalah terhadap semua pertuduhan yang dikemukakan.
Mengikut pertuduhan pertama dan keempat, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap cucunya yang berusia 12 tahun di sebuah rumah di daerah ini tahun lalu.
Bagi dua lagi pertuduhan, dia didakwa merogol mangsa yang sama dalam kejadian yang berlaku antara Januari hingga Disember tahun lalu di lokasi serupa.
Tertuduh turut berdepan satu lagi pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang lagi cucunya yang berusia sembilan tahun di rumah sama.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Ameerah Allaudeen manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Selain hukuman penjara dan sebatan, mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani sesi kaunseling sepanjang tempoh pemenjaraan serta diletakkan di bawah pengawasan polis selama tiga tahun selepas selesai menjalani hukuman mengikut peruntukan Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Kes berkenaan sebelum ini mendapat perhatian ramai selepas rakaman video yang tular pada 11 Jun lalu memaparkan seorang wanita dipercayai ibu mangsa menangis dan menjerit selepas warga emas itu mengaku melakukan perbuatan terbabit terhadap cucunya.
Dalam rakaman tersebut, suspek mengakui perbuatannya ketika disoal ahli keluarga dan turut meminta supaya laporan polis dibuat terhadapnya.
Pendedahan mangsa kepada ibunya akhirnya membawa kepada siasatan polis sebelum tertuduh didakwa di mahkamah atas kesalahan yang dilakukan terhadap dua cucu kandungnya.










