Majlis Peguam Lulus Usul Seru Kerajaan Gubal Undang-Undang Larang Perkahwinan Bawah Umur

Majlis Peguam (BAR) dalam satu mesyuarat dengan mendapat majoriti kukuh, meluluskan resolusi untuk menyeru kerajaan meluluskan undang-undang melarang perkahwinan bawah umur, demikian menurut seorang Peguam Srividhya Ganapathy.

Beliau yang mengusulkan perkara itu bersama Ajeet Kaur berkata pihaknya berharap kerajaan akan mengambil langkah untuk meningkatkan usia minimum perkahwinan bawah umur menjadi 18 tahun untuk semua.

“Undang-undang itu harus memberikan perlindungan kepada semua kanak-kanak terhadap perkahwinan bawah umur dan memberikan penyelesaian dan perlindungan kepada mangsa perkahwinan seperti itu atau anak yang lahir daripadanya,” kata beliau.

Srividhya,yang juga Pengerusi Bersama Yayasan Inovasi dan Kebaikan Hak Kanak-kanak, berkata 462 peguam menyokong usul itu dalam Mesyuarat Agung Tahunan Majlis Peguam ke-75 pada Sabtu lepas.

BACA JUGA – Kompaun RM10,000 Boleh Dirayu

“Tahun lalu, kami menarik balik usul itu kerana kami mengesyaki ramai peguam tidak akan hadir secara fizikal ke mesyuarat disebabkan wabak Covid-19,” katanya.

Tahun ini, mesyuarat itu dijalankan secara maya.

Usul itu juga menyeru agar kerajaan menerapkan pendekatan pelbagai pihak berkepentingan dan mengambil langkah segera untuk mengatasi faktor pencetus yang membawa kepada perkahwinan bawah umur di negara ini.

Faktor itu meliputi kemiskinan, seks sebelum perkahwinan, kehamilan remaja, dan kurangnya akses kepada pendidikan.

Pada masa ini, orang bukan Islam perlu mendapatkan persetujuan menteri besar atau ketua menteri untuk berkahwin sekiranya pengantin perempuan berusia antara 16 dan 18 tahun, dan pengantin lelaki bawah usia 18 tahun.

Perkahwinan orang Islam ditadbir oleh undang-undang syariah negeri dan berbeza di setiap negeri

Perkahwinan bawah umur menjadi perhatian tiga tahun lalu apabila seorang lelaki berusia 41 tahun di Gua Musang, Kelantan, mengahwini gadis berusia 11 tahun sebagai isteri ketiganya.

Penoreh getah Abdul Karim Che Abdul Hamid berkata, dia mendapat restu ibu bapa gadis itu dan merancang untuk memohon sijil nikah apabila “isterinya” mencecah usia 16 tahun.

Timbalan perdana menteri ketika itu, Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, kerajaan akan meminda undang-undang untuk menaikkan usia layak berkahwin bagi kanak-kanak perempuan dari 16 kepada 18 tahun.

Gadis berusia 11 tahun itu akhirnya dihantar kembali ke negara asalnya, Thailand, di mana dia dikatakan menjalani kaunseling kesihatan mental disebabkan perhatian melampau ke atas perkahwinannya.

Srividhya berkata, beliau difahamkan mahkamah syariah di negeri itu hanya mendenda lelaki tersebut kerana mengahwini kanak-kanak berkenaan di Thailand dan dia tidak didakwa bawah undang-undang persekutuan.

BBerkaitan

Latest articles