Mahkamah Tak Boleh Tolak Begitu Sahaja ‘Pemain Utama’ Skandal 1MDB

 

KUALA LUMPUR: UMNO hari ini mengingatkan mahkamah untuk tidak memandang remeh pendedahan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai pembabitan beberapa individu ‘besar’ dalam skandal penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB), termasuk dana SRC International.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan menegaskan pembabitan beberapa individu itu sekaligus membuktikan ‘terdapat fakta yang jelas, yang tidak boleh ditolak ke tepi begitu saja’ berhubung perbuatan rasuah melibatkan wang bernilai jutaan ringgit.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas keputusan Mahkmah Rayuan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada Rabu lalu, yang mengekalkan sabitan dan hukuman ke atas tujuh pertuduhan membabitkan penyelewengan dana RM42 juta milik syarikat SRC International.

“Saya berharap sangat Mahkamah (Persekutuan) memberi pertimbangan terhadap beberapa perkara yang timbul, iaitu kenyataan SPRM terhadap beberapa individu yang didapati berkompromi sebab mereka adalah ‘players’ dalam hal ini.

“Perkara itu perlu diberi masa untuk diambil maklum secara terperinci kerana semua ini berkait,” katanya memetik FMT.

Reaksi Abdul Rahman itu turut merujuk kepada kenyataan Thomas bahawa siasatan terhadap bekas gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz dan suaminya, Tawfiq Ayman berhubung skandal 1MDB tidak selesai atau ditutup semasa pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Ujarnya tindakan tidak menyiasat ‘dakwaan’ rasuah terhadap Zeti menyebabkan rasa tidak senang dalam kalangan pelbagai pihak, sehingga memberi kesan kepada Najib.

Bekas Ahli Parlimen Kota Belud itu juga sebelum ini pernah menggesa mahkamah menangguhkan terlebih dahulu hukuman terhadap Najib sehingga penilaian menyeluruh dilakukan.

“Apa salahnya buat dulu siasatan terhadap individu yang disebut dalam kenyataan SPRM. Rakyat membaca dan ia akan beri impak negatif kepada badan kehakiman. Lengkapkan siasatan, baru boleh buat keputusan. Ini (melibatkan bekas) Perdana Menteri, kenalah ada sedikit keprihatinan, belas kasihan dan perikemanusian kerana kes ini besar.

“Apa salahnya tangguh sebulan dua lagi untuk tengok betul-betul,” katanya.

 

BBerkaitan

Latest articles