Mahkamah Rayuan Jatuh Hukuman Penjara 30 Tahun Ke Atas Bekas Penyampai Radio Ismahalil

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan membatalkan keputusan pembebasan bekas penyampai radio, Ismahalil Hamzah, atas pertuduhan mengedar kanabis dengan mengenakan hukuman penjara 30 tahun.

Hakim Radzi Abdul Hamid, yang membacakan keputusan sebulat suara panel tiga hakim, berkata pihak pendakwaan berjaya membuktikan tanpa keraguan munasabah bahawa Ismahalil mempunyai pengetahuan, milikan, dan kawalan ke atas dadah tersebut.

Hakim Noorin Badaruddin dan Hakim Meor Hashimi Abdul Hamid turut bersidang mendengar rayuan itu.

Noorin, yang mempengerusikan panel itu, memerintahkan hukuman penjara bermula hari ini. Namun, Ismahalil, 53, terlepas hukuman sebat mandatori minimum 12 sebatan memandangkan pesalah berusia lebih 50 tahun diberi pengecualian.

Ismahalil masih mempunyai satu lagi ruang rayuan, mengambil kira kes berkenaan akan dibawa secara automatik ke Mahkamah Persekutuan.

Semasa memohon rayuan pengurangan hukuman, peguam bela Putra Ibrahim berkata, Ismahalil merupakan penanggung tunggal keluarganya.

Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz berkata pihak pendakwaan tidak memohon hukuman mati, sebaliknya mencadangkan mahkamah menjatuhkan hukuman statutori penjara 30 tahun.

Ismahalil dituduh mengedar 375g kanabis di sebuah rumah di Jalan Semarak, Wangsa Maju, Kuala Lumpur, sekitar 5.35 petang, 27 Ogos 2021.

Mengikut Seksyen 37(da) Akta Dadah Berbahaya 1952, menetapkan anggapan undang-undang bahawa seseorang yang memiliki atau dalam kawalannya 200g atau lebih dadah adalah dianggap melakukan kesalahan mengedar dadah, melainkan dibuktikan sebaliknya.

Dalam alasan lisan penghakiman, Radzi berkata hakim perbicaraan yang membebaskan Ismahalil tiga tahun lalu telah tersilap arah dari segi fakta dan undang-undang, yang mewajarkan dapatannya diganggu campur oleh Mahkamah Rayuan.

Beliau berkata, Mahkamah Tinggi terkhilaf menilai keterangan pada peringkat pembelaan, terutamanya dakwaan tertuduh bahawa seorang pegawai serbuan telah mengacukan pistol ke arahnya, sebelum dia dipaksa membawa polis ke arah sebuah beg yang mengandungi kanabis tersebut.

Radzi turut berkata, hakim bicara gagal menilai sewajarnya keterangan yang menunjukkan hanya Ismahalil yang mempunyai akses ke bilik lokasi dadah itu ditemui, walaupun isteri tertuduh memberi keterangan bahawa orang lain juga mempunyai akses.

“Kami mendapati responden gagal membangkitkan keraguan munasabah atas kes pendakwaan dan gagal memintas anggapan pemilikan dan pengedaran dadah berada di bawah kawalannya,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles