‘Lepas Mengundi, Kita Kembali Jadi Kawan’ – Syed Saddiq

MUAR: Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyeru seluruh rakyat Malaysia agar mengetepikan perbezaan politik dan kembali mengukuhkan perpaduan sebaik sahaja proses Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor berakhir, hari ini.

Bekas Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) itu berkata, perbezaan pendapat dan pilihan politik merupakan perkara biasa dalam sesebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi, namun ia tidak sepatutnya merenggangkan hubungan sesama rakyat.

Menerusi hantaran di Facebook, beliau berharap semua pihak dapat kembali menjalin persahabatan tanpa mengira parti atau fahaman politik selepas keputusan pilihan raya diumumkan.

“Saya harap bila semua dah mengundi dan keputusan dah keluar, kita kembali jadi kawan walaupun berbeza parti atau pandangan politik,” katanya.

Menurut Syed Saddiq, Malaysia yang mempunyai kira-kira 35 juta penduduk memerlukan semangat kebersamaan bagi menghadapi pelbagai cabaran yang lebih besar pada masa depan.

Beliau berkata, perbezaan pandangan tidak seharusnya menjadi alasan untuk bermusuhan kerana rakyat masih berkongsi matlamat yang sama sebagai sebuah negara.

“Banyak lagi cabaran yang kita kena hadap bersama sebagai rakyat Malaysia. Tak apa kalau kita berbeza pendapat. Itu biasa dalam demokrasi.

“Tapi lepas semuanya selesai, jom kita kembali bersatu. Kita boleh berdebat tanpa bermusuh. Akhirnya, kita semua satu pasukan sama: Malaysia,” katanya lagi.

Terdahulu, Syed Saddiq menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Sutera bersama ibu bapanya serta kakaknya bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perling.

BBerkaitan

Latest articles