Tindakan seorang pemandu kereta yang memandu dalam keadaan melawan arus dan laju telah mengakibatkan seorang penunggang motorsikal maut serta-merta.
Kejadian berlaku di Plaza Tol Jambatan Pulau Pinang menuju ke arah Lebuihraya Utara Selatan, jam 10.35 pagi semalam.
Mangsa yang maut adalah Mohamad Hafiz Bakri, 31 akibat kecederaan parah di kepala.
Manakala seorang lagi penunggang motorsikal, Lim Kar Tian, 34 cedera parah termasuk patah kaki kiri.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Shafee Abd Samad berkata nahas itu berlaku apabila Perodua Myvi putih dipercayai dipandu dalam keadaan laju dan melawan arus, manakala 2 motosikal terbabit berada di laluan betul dan ingin masuk ke bahagian pulau melalui Jambatan Pulau Pinang.
“Menurut pengguna jalan raya yang melihat kemalangan itu, pemandu Perodua Myvi tersebut terus memecut meninggalkan lokasi kejadian selepas melanggar 2 motosikal itu sehingga seorang maut, manakala seorang lagi cedera parah.
“Difahamkan, terdapat kerosakan pada bahagian depan kereta tersebut, namun menurut pengguna jalan raya lain, mereka tidak dapat mengenal pasti nombor pendaftaran kenderaan itu,” katanya.
Polis sedang meneliti rakaman kamera litar tertutup di kawasan berhampiran kejadian untuk mengenalpasti nombor pendaftaran kereta dan mengesan pemandunya.
Beliau meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung Perodua Myvi yang melanggar kedua-dua motosikal itu menghubungi balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.
“Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.”