Lawatan PM, MITI Ke Luar Negara Tarik Pelaburan RM59.5 Bilion

KUALA LUMPUR: Sebanyak RM59.5 bilion potensi pelaburan berjaya direkodkan hasil 14 lawatan rasmi dan Misi Perdagangan dan Pelaburan (TIM) ke luar negara sepanjang 2025 hingga September 2026.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, daripada jumlah itu, RM14.2 bilion sudah mendapat kelulusan manakala baki RM45.3 bilion masih dalam pelbagai peringkat rundingan dan tindakan susulan.

Menurutnya, lawatan berkenaan diketuai Perdana Menteri dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri menerusi kerjasama Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) serta Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).

“Potensi pelaburan tersebut adalah bersifat dinamik dan tertakluk kepada perkembangan rundingan, penilaian projek serta keputusan komersial syarikat-syarikat yang terlibat,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada Isnin.

Beliau menjawab soalan Datuk Mohd Kurniawan Naim Moktar (BN-Kinabatangan) yang meminta jumlah keseluruhan nilai potensi pelaburan dan perdagangan konkrit hasil lawatan rasmi ke luar negara sepanjang 2025 hingga September 2026 serta pecahan pelaburan yang telah mula direalisasikan di peringkat domestik.

Mengulas lanjut, Johari berkata, sesebuah projek lazimnya mengambil masa antara 18 hingga 24 bulan untuk direalisasikan bergantung kepada skala, kompleksiti projek dan keadaan ekonomi semasa.

Katanya, MIDA akan terus melaksanakan tindakan susulan, pemantauan dan pemudahcaraan bagi memastikan potensi pelaburan dikenal pasti dapat diterjemahkan kepada pelaksanaan projek sebenar dalam negara.

Dalam pada itu, beliau berkata, lawatan rasmi ke beberapa negara termasuk Kenya, Brazil, United Kingdom, Turkiye, Jepun, Itali, Perancis, Korea Selatan, China, Thailand, India dan Rusia turut menjana nilai eksport sebanyak RM6.77 bilion.

“Nilai eksport sebanyak RM6.77 bilion telah berjaya dijana menerusi libat urus peringkat tinggi seperti mesyuarat meja bulat, forum perniagaan serta mesyuarat bersemuka dengan pemain industri terkemuka,” katanya.

Menurutnya, pencapaian itu didorong permintaan berterusan terhadap produk dan perkhidmatan Malaysia termasuk komponen aeroangkasa, perabot, peranti perubatan, petroleum dan produk petroleum, minyak sawit serta perkhidmatan perisian.

Selain itu, Johari berkata, promosi eksport ke pasaran baharu di Asia Tengah, Afrika dan Amerika Latin turut menunjukkan perkembangan positif.

Beliau berkata, bagi tempoh Januari hingga September 2026, ketiga-tiga rantau itu secara keseluruhan mencatatkan peningkatan eksport sebanyak 23.06 peratus kepada RM69.84 bilion.

Antara pasaran yang merekodkan pertumbuhan eksport dua digit ialah Namibia sebanyak 426.1 peratus, Angola (55.6 peratus), Brazil (41 peratus), Tanzania (35.9 peratus), Ethiopia (28.5 peratus) dan Kenya (11.6 peratus).

Tambahnya, MATRADE melalui rangkaian pejabatnya di seluruh dunia akan terus memantau serta memudah cara pelaksanaan potensi jualan, selain menyediakan sokongan berterusan kepada pengeksport tempatan khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Katanya, usaha itu penting bagi memastikan potensi perdagangan dan pelaburan yang dikenal pasti melalui lawatan rasmi serta TIM dapat direalisasikan sepenuhnya sekali gus memberi limpahan ekonomi kepada rakyat dan negara.

BBerkaitan

Latest articles