44 Projek Bekalan Air Luar Bandar Sabah Bernilai RM4.06 Bilion Diserah Kepada Kerajaan Negeri

KUALA LUMPUR: Sebanyak 44 projek di bawah Program Bekalan Air Luar Bandar (BALB) Sabah bernilai RM4.06 bilion yang sebelum ini dilaksanakan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) telah diserahkan kepada Kerajaan Negeri Sabah.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata penyerahan itu merupakan sebahagian daripada usaha mempercepat pelaksanaan projek bekalan air luar bandar di Sabah dan Sarawak.

Beliau berkata setakat 2025, sebanyak 16 projek BALB di Sabah telah siap sepenuhnya dan memberi manfaat kepada 8,548 rumah di beberapa kawasan Parlimen.

“Antara kawasan yang menerima manfaat ialah Beaufort, Keningau, Kinabatangan, Kota Belud, Kudat, Libaran, Papar, Sandakan, Semporna, Tawau dan Tenom,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada Isnin.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Gapari Kitingan (GRS-Keningau) yang meminta penjelasan mengenai projek BALB Sabah yang telah dilaksanakan sehingga 2025 serta projek baharu bernilai RM4.06 bilion yang diserahkan kepada kerajaan negeri untuk dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi tempoh 2026 hingga 2030.

Ahmad Zahid berkata penyerahan projek berkenaan dibuat selaras keputusan kerajaan untuk menyerahkan pelaksanaan projek BALB kepada kerajaan negeri Sabah dan Sarawak bagi mempercepat proses pelaksanaannya.

Menurutnya, kesemua 56 projek BALB Sabah yang berada pada peringkat pra-pelaksanaan dan dalam pelaksanaan telah diserahkan sepenuhnya kepada kerajaan negeri.

Beliau berkata daripada jumlah itu, sebanyak 43 projek dilaksanakan Jabatan Air Sabah, 11 projek oleh Jabatan Kerja Raya Sabah, manakala masing-masing satu projek oleh Jabatan Pengairan dan Saliran Sabah serta Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah.

“Jabatan Kerja Raya Sabah dilantik sebagai agensi pelaksana bagi projek yang diluluskan pada 2024 dan 2025, manakala Jabatan Pengairan dan Saliran Sabah bagi projek yang diluluskan pada 2026,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles