643 Individu Ditahan Kes Vape ‘Piu Piu’, 236 Kes Didakwa

KUALA LUMPUR: Seramai 643 individu ditahan menerusi 429 kes berkaitan cecair vape yang disyaki mengandungi dadah sintetik atau dikenali sebagai ‘Piu Piu’ bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, dalam tempoh sama, sebanyak 121.47 kilogram dan 302.43 liter cecair vape yang disyaki mengandungi bahan dadah sintetik turut dirampas.

Menurutnya, berdasarkan rekod Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebanyak 333 kertas siasatan dibuka dengan 236 kes berjaya didakwa, manakala 81 kes masih dalam siasatan dan 16 kes tidak diteruskan pertuduhan atau tiada tindakan lanjut (NFA).

“Sebanyak 333 kes siasatan telah dijalankan dan sebanyak 236 kes berjaya didakwa, manakala 81 kes masih dalam siasatan dan 16 kes tidak dapat diteruskan pertuduhan (NFA),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada Isnin bagi menjawab soalan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (PH-Bandar Tun Razak) yang meminta statistik terkini rampasan, tangkapan dan pendakwaan berkaitan cecair vape mengandungi dadah sintetik ‘Piu Piu’ serta langkah membanteras pengedaran dan penjualannya, khususnya menerusi platform dalam talian dan dalam kalangan golongan muda.

Saifuddin berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) memandang serius trend penyalahgunaan vape bercampur bahan terlarang yang menyasarkan golongan muda dan pelajar.

Katanya, kegiatan penjualan bahan berkenaan dikesan berlaku menerusi platform dalam talian, media sosial dan perkhidmatan kurier.

“Mempergiat operasi khas bersepadu bersama agensi penguatkuasaan berkaitan untuk mengekang sindiket pengedaran vape berbahaya, terutama di premis hiburan, kios vape, makmal dadah sintetik dan lokasi yang dikenal pasti menjadi tumpuan golongan muda,” katanya.

Beliau berkata, menerusi Operasi (Op) Vape 1.0 yang dijalankan secara bersama oleh PDRM dan beberapa agensi lain, sebanyak 1,670 premis diperiksa dengan 728 daripadanya didapati melanggar peraturan.

Operasi itu turut menyaksikan sebanyak 8,091 peranti vape, 5,257 kartrij vape serta 205.764 kilogram bahan dan cecair vape dirampas dengan nilai keseluruhan RM4.59 juta.

Menurutnya, kerajaan turut memperkukuh risikan dan pemantauan siber terhadap aktiviti penjualan vape mengandungi bahan terlarang menerusi media sosial, aplikasi komunikasi serta platform e-dagang.

Selain itu, keupayaan analisis forensik dan makmal akan ditingkatkan bagi mengenal pasti kandungan bahan terlarang dalam cecair vape termasuk dadah sintetik, bahan psikoaktif baharu (NPS), opioid sintetik dan bahan halusinogen baharu.

Saifuddin berkata, penguatkuasaan lebih agresif turut dilaksanakan terhadap sindiket yang mengeksploitasi golongan muda dan pelajar sekolah sebagai pengguna, penghantar atau pengedar mengikut undang-undang sedia ada termasuk Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Akta Racun 1952.

Dalam usaha pencegahan, katanya, program advokasi dan pendidikan turut dipergiat khususnya kepada golongan belia serta pelajar sekolah menerusi Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) PDRM dan Modul Kesedaran Jenayah Terhadap Kanak-Kanak dan Remaja (MESRA).

“Kementerian akan terus mengambil pendekatan tegas dan menyeluruh bagi memastikan ancaman penyalahgunaan vape berbahaya ini dapat dibanteras demi melindungi keselamatan dan kesejahteraan masyarakat, khususnya generasi muda,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles