KUALA LUMPUR: Kerajaan dicadangkan supaya melanjutkan tempoh Sidang Khas Parlimen bagi membahaskan Laporan Suruhanjaya Siasatan Di-Raja (RCI) Lembaga Tabung Haji (TH) yang dijadualkan pada 11 Ogos depan sekurang-kurangnya selama dua hari.
Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pelanjutan tempoh itu bagi membolehkan lebih ramai Ahli Dewan Rakyat mengambil bahagian dalam perbahasan.
Menurut beliau, ini membolehkan Ahli Parlimen mengemukakan hujah-hujah yang bernas dan substantif demi menambah baik pengurusan, tatakelola dan prestasi Tabung Haji sebagai badan utama yang menguruskan pelaburan dan urusan ibadah haji umat Islam di Malaysia.
“Penubuhan Suruhanjaya Siasatan Di-Raja (RCI) Mengenai Lembaga Tabung Haji diputuskan oleh kabinet semasa saya menjadi Perdana Menteri.
“Justeru, saya mengalu-alukan keputusan Kerajaan untuk mendedahkan Laporan RCI Tabung Haji,” katanya dalam kenyataan media pada Jumaat.
Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, pendedahan laporan berkenaan memberikan peluang kepada rakyat untuk mengetahui dan menilai dapatan-dapatan suruhanjaya secara telus dan adil.
Walau bagaimanapun, Ahli Parlimen Pagoh itu menjelaskan bahawa terdapat beberapa aspek laporan tersebut yang perlu dijelaskan secara lebih lanjut oleh Kerajaan.
“Ini termasuk laporan audit forensik terhadap 14 pelaburan bermasalah yang menyebabkan Tabung Haji menanggung kerugian berbilion ringgit,” tegas beliau.










