KUALA LUMPUR: Presiden Pakatan Harapan (Ph), Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui pihaknya berhati-hati dalam menerima penyertaan MUDA ke gagasan pembangkang itu.
Ia bersandarkan kepada pengalaman PH dikhianati oleh Bersatu sehingga mengakibatkan kerajaan PH tumbang pada Februari 2020.
Sehubungan itu Anwar menegaskan adalah penting bagi PH menilai baik buruknya penyertaan MUDA ke dalam gagasan berkenaan supaya sejarah pahit itu tidak terjadi lagi.
“Pengalaman lalu bersama Bersatu yang sukar, mereka memungkiri semua komitmen berkenaan isu agenda pelbagai kaum, membasmi rasuah dan tentulah bagi Keadilan (PKR) kita tidak terlepas daripada perkara ini kerana ramai pemimpin kita terlibat dalam pengkhianatan ini,” katanya memetik wawancaranya bersama Malaysiakini.
Presiden PKR itu turut memaklumkan PH juga menerima surat dari Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang mahu bekerjasama dengan PH dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nanti.
“Saya rasa kita boleh terus berbincang memandangkan dari segi dasar, parti-parti ini agak dekat dengan PH.
“Tetapi saya serahkan kepada majlis presiden dan kemudian penubuhan jawatankuasa untuk membuat penilaian terperinci,” katanya.
PKR akan membincangkan permohonan MUDA dan PSM bersama-sama dengan Amanah dan DAP dalam mesyuarat Majlis Presiden PH yang berlangsung petang nanti.
MUDA sebelum ini menyatakan hasrat menyertai PH dalam PRU-15 yang kemudian menyaksikan penolakan daripada pemimpin PKR antaranya disebabkan tindakan MUDA meletakkan calon di Dewan Undangan Negeri Larkin pada Pilihan Raya Negeri Johor lalu.
Amanah dan DAP bagaimanapun tidak mempunyai masalah untuk menerima parti pimpinan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman itu untuk menyertai PH.
MUDA telah mengumumkan mahu bertanding di 15 kerusi Parlimen dan kesemua kerusi itu disandang oleh Barisan Nasional dan Perikatan Nasional.