Ku Li Mahu UMNO-PAS Bersatu Semula, Bentuk Keluarga Politik Lebih Besar

KUALA LUMPUR: Veteran UMNO, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah menggesa UMNO dan PAS kembali menjalinkan kerjasama politik bagi membentuk satu keluarga besar yang lebih kukuh demi kepentingan rakyat.

Menurutnya, kehadiran beberapa pemimpin PAS pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) hari ini boleh dilihat sebagai perkembangan positif ke arah penyatuan semula kedua-dua parti.

Tengku Razaleigh atau lebih dikenali sebagai Ku Li berkata, langkah itu wajar disambut baik dan diharapkan menjadi permulaan kepada usaha merapatkan semula hubungan UMNO dan PAS.

“Bagus, saya rasa itu bagus (kehadiran pemimpin PAS), kita boleh bersatu semula. Insya-Allah berkat doa,” katanya ketika ditemui pemberita pada PAU 2026 hari ini.

Ucapan dasar Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pagi tadi turut menyaksikan kehadiran beberapa pemimpin PAS, termasuk Naib Presiden parti itu, Datuk Idris Ahmad; Setiausaha Agung, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Ketua Penerangan, Ahmad Fadhli Shaari.

Dalam ucapan berkenaan, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri memberi isyarat bahawa UMNO dan Barisan Nasional (BN) terbuka untuk bekerjasama dengan “lambang hijau”, yang sinonim dengan PAS.

Dalam perkembangan sama, Ku Li turut mengajak bekas pemimpin dan anggota UMNO yang meninggalkan parti atau pernah berkecil hati supaya kembali bersama parti itu.

Bekas Ahli Parlimen Gua Musang itu berkata, UMNO memerlukan sebuah keluarga yang besar bagi menghadapi pelbagai cabaran serta memikul tanggungjawab yang semakin kompleks.

“Kita semua mengalu-alukan mereka masuk balik ke dalam UMNO, kita hendak suatu keluarga yang besar.

“Ini kerana banyak tanggungjawab yang kita kena pikul dan perlukan banyak tenaga serta buah fikiran bagi membolehkan masalah diselesaikan oleh generasi muda,” katanya.

Ku Li yang juga pernah memegang jawatan Menteri Kewangan mempunyai sejarah panjang dalam politik UMNO, termasuk mencabar Tun Dr Mahathir Mohamad bagi jawatan Presiden UMNO pada 1987, namun tewas dengan majoriti yang amat tipis.

BBerkaitan

Latest articles