KPT Keluarkan Garis Panduan Aktiviti Pengajaran Dan Pembelajaran

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) memaklumkan bahawa semua aktiviti Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) perlu dilaksanakan secara dalam talian sehingga 31 Disember.

Menerusi satu  kenyataan medianya hari ini,  kementerian Pengajian Tinggi turut mengeluarkan arahana bahawa semua aktiviti akademik secara bersemuka adalah tidak dibenarkan.

“Bagi pengendalian aktiviti akademik di kampus Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) semasa dan pasca PKP, KPT ingin memaklumkan bahawa semua aktiviti PdP hendaklah dilaksanakan secara dalam talian sehingga 31 Disember 2020,” kata kenyataan itu.

Kementerian itu, bagaimanapun, menjelaskan bahawa lima kategori pelajar berkeperluan akan diberikan pengecualian.

Pengecualian itu, katanya, diberikan kepada mereka untuk pulang ke kampus secara berperingkat bagi melaksanakan PdP.

Berikut merupakan lima kategori pelajar berkeperluan untuk pulang ke kampus bagi melaksanakan PdP:

Pelajar pasca-siswazah mod penyelidikan di Universiti Awam (UA) dan Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS)

KPT berkata pelajar di bawah kategori ini diberikan kebenaran menyambung penyelidikan dengan kadar segera.

“Kelonggaran ini hanya dibenarkan kepada pelajar yang berkeperluan hadir secara fizikal ke makmal, bengkel, studio reka bentuk, atau memerlukan peralatan khusus bagi menjalankan penyelidikan,” katanya.

Pelajar semester atau tahun akhir bagi pengajian di peringkat Sijil, Diploma dan Ijazah Sarjana Muda

Bagi kategori tersebut, ia membabitkan pelajar yang perlu melaksanakan kerja-kerja klinikal, latih amal, makmal, bengkel, studio reka bentuk, praktikal atau yang memerlukan peralatan khusus.

Kenyataan itu turut menyebut bahawa pelajar dalam kategori ini dibenarkan untuk melaksanakan PdP di kampus seawal 1 Julai 2020.

Pelajar semester atau tahun akhir yang tidak mempunyai akses yang diperlukan dan persekitaran kondusif bagi melaksanakan PdP dalam talian

Bagi kategori terbabit, KPT berkata mereka dibenarkan untuk pulang ke kampus seawal 1 Julai 2020 dan menggunakan infrastruktur di kampus bagi PdP secara dalam talian.

Pelajar berkeperluan khas yang mengikuti program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di Politeknik dan Kolej Komuniti

Kategori ini, menurut KPT, mereka perlu mendapat bimbingan secara bersemuka bagi melaksanakan PdP kerana masalah pembelajaran.

Pelaksanaan itu boleh bermula seawal 1 Ogos 2020.

Pelajar baharu bagi sesi akademik 2020/2021

Pelajar baharu ini melibatkan UA, IPTS, Politeknik dan Kolej Komuniti bagi kemasukan ke peringkat Sijil, Asasi dan Diploma untuk lepasan SPM serta kemasukan ke peringkat ijazah Sarjana Muda bagi lepasan STPM/setaraf.

Kemasukan pelajar adalah secara berperingkat seperti berikut:

– Pelajar Sijil dan Diploma Politeknik serta Kolej Komuniti seawal 1 Julai 2020
– Pelajar Asasi, Sijil, Diploma dan Ijazah Sarjana Muda di IPTS seawal 1 Julai 2020
– Pelajar Asasi dan Diploma di UA seawal 1 Ogos 2020
– Pelajar Ijazah Sarjana Muda dan Pasca Siswazah mod penyelidikan di UA dan IPTS seawal 1 Oktober 2020

Dalam pada itu, KPT mengingatkan agar pelaksanaan aktiviti akademik di kampus dijalankan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Keutamaan langkah keselamatan dan penjarakan sosial perlu diamalkan dan penetapan ini adalah tertakluk kepada arahan pihak berkuasa dari semasa ke semasa,” katanya.

 

Sertai Komuniti Telegram kami di sini

BBerkaitan

Latest articles