PUTRAJAYA: Industri sawit memperuntukkan hampir RM200,000 bagi menyokong usaha pemuliharaan dan perlindungan habitat orang utan, termasuk penyediaan kemudahan bagi memastikan kelangsungan hidup spesies berkenaan.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, berkata sumbangan menerusi Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF) itu mencerminkan komitmen industri dalam menyokong usaha konservasi secara lebih menyeluruh.
Beliau berkata, antara inisiatif dilaksanakan termasuk pembinaan jambatan orang utan bagi menghubungkan habitat yang terpisah, selain penyediaan bot rondaan untuk membantu renjer menjalankan pemantauan dan penguatkuasaan.
Menurutnya, usaha berkenaan bukan sahaja bertujuan melindungi habitat semula jadi haiwan itu, malah meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan pemeliharaan biodiversiti.
Sementara itu, beliau berkata program larian sempena Hari Orang Utan Sedunia 2026 berjaya menarik penyertaan 1,500 peserta, jumlah tertinggi sejak sambutan itu mula dianjurkan MPOGCF.
Katanya, keseluruhan yuran penyertaan akan disalurkan kepada Tabung Pemuliharaan MPOGCF bagi menyokong pelaksanaan Program Diplomasi Orang Utan (OUDip).
Program berkenaan dilaksanakan di Kawasan Pemuliharaan Sungai Pin (SPnCA), dalam kawasan ladang milik Kumpulan Sawit Kinabalu di Kinabatangan, Sabah.
Noraini berkata, Kumpulan Sawit Kinabalu memperuntukkan kira-kira 2,632 hektar di Ladang Sungai Pin sebagai kawasan Nilai Pemuliharaan Tinggi (HCV), yang dianggarkan menjadi habitat kepada kira-kira 55 ekor orang utan.
Dalam pada itu, beliau berkata usaha pemuliharaan spesies berkenaan perlu diperluaskan ke kawasan lain yang dikenal pasti memerlukan perhatian, dan tidak hanya tertumpu di Sabah.
Beliau turut berharap peruntukan tambahan dapat dipertimbangkan menerusi Belanjawan akan datang bagi memperkukuh inisiatif berkenaan, selain menggalakkan penyertaan sektor swasta dan orang ramai dalam menyumbang kepada usaha konservasi.










