Penebusan Sukuk UJSB Bergantung Kedudukan Kewangan Kerajaan

KUALA LUMPUR: Kementerian Kewangan (MOF) komited menyediakan peruntukan bagi penebusan awal sukuk Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB) kepada Lembaga Tabung Haji (LTH), tertakluk kepada kedudukan kewangan kerajaan.

MOF dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada Khamis berkata, komitmen itu diteruskan bagi membantu UJSB memenuhi obligasinya kepada LTH selain memulihkan aset syarikat berkenaan secara berhemat.

Menurut kementerian itu, peruntukan bagi tujuan berkenaan sebelum ini tidak dapat disediakan seperti dirancang berikutan kerajaan perlu mengutamakan perbelanjaan bagi menangani pandemik Covid-19.

“Komitmen ini diteruskan bagi menyokong UJSB memenuhi obligasinya kepada LTH, di samping memulihkan aset secara berhemat,” menurut jawapan itu.

Jawapan berkenaan diberikan bagi menjawab soalan Datuk Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut) yang meminta kementerian menjelaskan bagaimana UJSB akan memenuhi obligasi penebusan sukuk mengikut nilai matang yang dijanjikan kepada LTH serta sumber dana bagi pembayaran berkenaan.

Menurut MOF, UJSB yang merupakan syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan ditubuhkan bagi membantu memulihkan kedudukan kewangan LTH menerusi pengambilalihan dan pemulihan aset yang tidak berdaya saing.

Pada 2018, UJSB mengambil alih aset LTH bernilai RM9.7 bilion pada harga RM19.9 bilion, dengan perbezaan RM10.2 bilion merupakan premium yang diberikan kepada LTH bagi membantu pemulihan kewangannya.

Bagaimanapun, premium berkenaan menjadi beban kerugian kepada UJSB menerusi rosot nilai aset, selain kos keuntungan sukuk yang terakru kepada LTH.

“Kos sukuk yang ditanggung UJSB merupakan pendapatan keuntungan terakru kepada LTH,” menurut jawapan itu.

Kedua-dua komponen berkenaan menjadi penyumbang utama kepada kerugian terkumpul UJSB sebanyak RM13.20 bilion pada akhir 2025.

Bagaimanapun, MOF menjelaskan kerugian terkumpul itu perlu dibezakan daripada prestasi operasi syarikat yang secara konsisten mencatatkan keuntungan sejak 2019.

UJSB merekodkan keuntungan operasi RM297 juta bagi tahun kewangan 2025, manakala nilai aset di bawah pengurusannya meningkat daripada RM9.7 bilion pada 2018 kepada RM11.61 bilion pada akhir 2025.

Selain itu, usaha pemulihan membolehkan syarikat perladangan yang kembali menjana keuntungan diserahkan semula kepada LTH pada harga lebih rendah berbanding harga pengambilalihan.

BBerkaitan

Latest articles