Kluster Baharu Dikesan di Pengerang

Satu kluster baharu yang bermula di Pengerang, Johor, telah dikesan, dengan kes indek kluster berkenaan merupakan kes ke-1508 dan mula mengalami gejala pada 12 Mac lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Noor Hisham Abdullah berkata, pesakit itu telah dirawat di sebuah klinik swasta pada 16 Mac lalu dan disyaki menghidap demam denggi.

“Pada keesokan hari, beliau telah merentas beberapa buah negeri untuk mengunjungi sanak saudara di sekitar Selangor sebelum pulang ke Pengerang pada 18 Mac,” katanya pada sidang media harian perkembangan COVID-19 di Putrajaya, hari ini.

Menurut Dr Noor Hisham, kesihatan pesakit itu mula merosot dan dimasukkan ke Hospital Sultanah Aminah, Johor pada 20 Mac dalam keadaan yang kritikal dan beliau seterusnya disahkan positif jangkitan COVID-19 pada 22 Mac.

Sehingga 22 April, katanya, kluster tersebut telah melibatkan sebanyak 15 kes positif COVID-19 iaitu 10 orang rakan sekerja dan lima orang ahli keluarga termasuk ibu pesakit yang berusia 79 tahun dan anak perempuannya berusia 10 tahun.

Tujuh kes daripada kluster ini masih dalam rawatan manakala lapan kes lagi telah pulih sepenuhnya dan dibenarkan discaj.

“Manakala tiga kes di dalam kluster ini telah dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU),” katanya.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham menasihatkan umat Islam di negara ini agar menggunakan peluang semasa bulan Ramadan yang bakal tiba untuk menjalankan aktiviti dan amalan keagamaan seperti persediaan juadah berbuka puasa dan solat berjemaah dengan keluarga di rumah masing-masing.

BBerkaitan

Latest articles