KOTA BHARU: Mahkamah menegaskan kesusahan hidup tidak boleh dijadikan alasan untuk melakukan jenayah apabila seorang bapa kepada lima anak dijatuhi hukuman penjara enam bulan kerana mencuri barangan bernilai RM394.
Hukuman itu dijatuhkan Mahkamah Majistret Kota Bharu terhadap Wan Eskandar Wan Julihi, 43, selepas dia mengaku bersalah mencuri 12 peket susu formula bayi, sembilan peket Milo, minuman ringan, makanan ringan dan pembuka tin di Pasaraya PKT Pasir Tumboh pada 11 Oktober lalu.
Majistret R Vinoshen menegaskan, kesusahan hidup dan tanggungjawab menyara keluarga tidak boleh dijadikan alasan untuk melakukan jenayah, sebaliknya kepentingan awam serta pencegahan kesalahan berulang perlu diutamakan.
Mahkamah turut mengambil kira rekod lampau tertuduh yang pernah disabitkan kesalahan menipu sebelum memutuskan hukuman penjara perlu dikenakan sebagai pengajaran.
Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Nik Nasrun Nazmi Nik Mohamad, memaklumkan tertuduh tidak bekerja, mempunyai lima anak, membayar sewa rumah RM300 sebulan serta menghidap penyakit jantung, darah tinggi dan psoriasis.
Bagaimanapun, mahkamah menegaskan pengakuan bersalah bukan jaminan pengurangan hukuman secara automatik, meskipun ia diambil kira sebagai faktor mitigasi.
Majistret turut menjelaskan hukuman enam bulan itu lebih ringan berbanding kebiasaan hukuman penjara satu hingga tiga tahun bagi kesalahan mencuri mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.
Beliau mengingatkan orang ramai bahawa perbuatan mencuri, walaupun melibatkan barangan kecil seperti sebuku roti, tetap merupakan kesalahan jenayah yang boleh membawa kepada hukuman penjara.










