KUALA LUMPUR: Penyandang kerusi Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin menerima ketetapan Barisan Nasional (BN) untuk beliau bertanding di kawasan baru di Parlimen Sungai Buloh.
“Alhamdulillah saya baru sahaja diumumkan sebagai calon BN bagi kerusi P.107 Sungai Buloh,” demikian reaksi awal Khairy Jamaluddin sebaik sahaja nama beliau diumumkan sebagai calon Parlimen Sungai Buloh.
Khairy yang juga Menteri Kesihatan menyifatkan pencalonan tersebut sebagai cabaran besar namun beliau akan membuat yang terbaik dengan bertemu dan meyakinkan seramai mungkin untuk memberi peluang kepadanya.
Khairy tidak lagi mempertahankan Parlimen Rembau untuk Pilihan Raya Umum ke-15 bagi memberi lalu kepada Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan sebagai calon.
Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dinamakan sebagai calon di kerusi Parlimen Gerik.
Manakala Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan pula ditempatkan di Alor Gajah, Melaka – kerusi yang sebelum ini ditandingi komponen BN iaitu MCA.