Kilang tertentu sahaja dibenarkan eksport ayam – annuar musa

CYBERJAYA : Kerajaan memutuskan untuk membenarkan kilang tertentu sahaja untuk menternak ayam secara khusus bagi tujuan eksport ayam.

Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi, Tan Sri Annuar Musa, berkata bagi tujuan itu, kilang terpilih itu boleh menternak ayam itu bermula sekarang.

“Jemaah Menteri setuju kilang tertentu sahaja boleh menternak secara khusus bagi tujuan eksport mulai sekarang.

“Ternakan ayam untuk eksport mestilah mendapatkan kebenaran dari Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) untuk eksport berapa jumlah ayam. Ayam untuk eksport boleh mulai bulan Okt nanti bukan serta merta, dan ternakan di ladang tertentu sahaja,” katanya pada sidang media hari ini.

Berkuat kuasa 1 Jun lalu, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) melaksanakan sekatan eksport ayam membabitkan bekalan ayam sebanyak 3.6 juta ekor sebulan.

Namun, sejak belakangan ini, media melaporkan, penternak ayam memohon supaya sekatan eksport ternakan itu diteliti semula selepas penternak ayam kecil dan sederhana kini dilaporkan terpaksa menjual ayam pada harga rugi, dalam masa yang sama tetap tidak dapat menampung kos.

Dalam pada itu, Annuar yang juga Menteri Komunikasi dan Mutilmedia berkata kebenaran untuk eksport ayam itu mestilah tidak mengurangkan bekalan ayam untuk penggunaan domestik.

Beliau berkata ini kerana secara hukum ekonomi, apabila bekalan berlebihan, harga ayam akan turun.

“Situasi itu perlu dikekalkan kerana dengan adanya bekalan yang lebih tinggi dari permintaan harga ayam turun sekarang.

“Memang harga ayam turun bawah RM9.40 (harga siling ayam). Bila turun tak boleh kurnag bekalan itu,” katanya.

Annuar juga berkata Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi ini juga akan memantau kilang yang dibenarkan eksport ayam itu.

BBerkaitan

Latest articles