JOHOL: Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menegaskan tiada mana-mana pihak berhak mendesak menteri atau timbalan menteri meletakkan jawatan kerana urusan pelantikan dan penamatan jawatan anggota Kabinet merupakan kuasa mutlak Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Naib Presiden UMNO itu berkata, sebarang keputusan berkaitan kedudukan menteri tertakluk sepenuhnya kepada budi bicara Perdana Menteri, justeru gesaan daripada mana-mana pihak agar wakil Barisan Nasional (BN) berundur daripada Kabinet adalah tidak berasas.
“Kita tahu soal pelantikan menteri adalah mengikut budi bicara Perdana Menteri. Jadi, tak payahlah (Pemuda Pakatan Harapan) nak suruh mana-mana menteri letak jawatan.
“Kalau nak bercakap soal letak jawatan dan sebagainya, cakaplah dengan ketua parti mereka,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Pengenalan Calon dan Pelancaran Jentera BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Johol sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Beliau mengulas gesaan Pemuda Pakatan Harapan (PH) yang sebelum ini meminta semua menteri dan timbalan menteri daripada BN meletakkan jawatan susulan kerjasama terbuka parti itu dengan Perikatan Nasional (PN) pada PRN Johor dan Negeri Sembilan.
Pemuda PH mendakwa kerjasama tersebut menimbulkan persoalan terhadap komitmen sebenar BN sebagai komponen dalam Kerajaan Perpaduan.
Sementara itu, Khaled turut mengulas peringatan Anwar yang sebelum ini memberi amaran kepada menteri, timbalan menteri dan pemegang jawatan dalam agensi kerajaan supaya berundur sekiranya menggunakan kedudukan masing-masing untuk menyerang rakan dalam Kerajaan Perpaduan sepanjang kempen PRN.
Menurut beliau, kempen pilihan raya negeri seharusnya memberi tumpuan kepada isu dan kepentingan rakyat di peringkat negeri, bukannya dijadikan pentas untuk menyerang pemimpin di peringkat Persekutuan.
“Kita percaya memang tak perlu berlaku serangan kerana ini pilihan raya negeri dan sewajarnya perkara yang dibangkitkan berkaitan kepentingan negeri.
“Jadi, memang tidak wajar kempen dijadikan platform untuk saling menyerang. Tidak perlu menggunakan pendekatan yang boleh menyakitkan hati atau memburuk-burukkan antara satu sama lain,” katanya.
Beliau berkata kempen yang matang dan berhemah akan lebih membantu pengundi membuat penilaian berdasarkan dasar serta kemampuan calon, berbanding polemik politik yang hanya mencetuskan ketegangan dalam kalangan parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan.










