Kes Pristine Offshore: Saksi Pendakwaan Sahkan Tiada Sebarang Bayaran Dibuat Bertujuan Melancarkan Kontrak

SHAH ALAM: Saksi Pendakwaan Pertama (SP1) bagi kes rasuah membabitkan bekas Pengarah Pristine Offshore, Chew Ben Ben, 66, bersetuju kepada Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, bahawa tidak ada keperluan untuk membuat sebarang bayaran bagi memastikan kontrak berjalan lancar.

Menerusi prosiding soal balas di hadapan hakim, Awang Kerisnada Awang Mahmud, peguam bela Tan Sri Dzulkilfli Ahmad bertanya kepada SP1 sama ada berlaku sebarang perlanggaran dalam kontrak pembekalan oleh Petronas Carigali Sdn Bhd (PCSB) yang menyebabkan bayaran perlu dibuat untuk melancarkan kontrak.

“Jadi setuju atau tidak En Azman (SP1) tidak ada keperluan untuk membuat apa-apa bayaran bagi tujuan untuk memastikan kontrak berjalan lancar kerana kontrak memang berjalan lancar,” soal Dzilkifli.

SP1, Azman Mohammad, 55, yang juga Pengarah Dynamic Navigation Sdn Bhd turut mengesahkan bahawa tidak menerima sebarang notis perlanggaran kontrak daripada Petronas Carigali Sdn Bhd (PCSB), Deleum Primera Sdn Bhd (DPSB), dan syarikat subkontraktor Pristine Offshore Sdn Bhd (POSB) dalam projek pembekalan kapal ini.

Pada prosiding soal balas terdahulu, peguam bela, Bernard Francis, turut mengesahkan kepada SP1 bahawa notis akan dikeluarkan sekiranya berlakunya perlanggaran kontrak oleh perkhidmat dan pembekal.

Bernard: Sekiranya terdapat perlanggaran kontrak Petronas akan hantar notis kepada Delium dan Delium akan hantar notis itu kepada POSB, jadi ada tak apa-apa notis daripada Delium bahawa terdapatnya ketidakpatuhan dalam kontrak Petronas?

SP1: Tidak ada

Bernard: Sepanjang kamu berada dan bekerja sebagai consultant (perunding) dan memberi khidmat consultation (rundingan) kepada POSB tidak ada apa-apa notis daripada Delium berkenaan ketidakpatuhan kontrak?

SP1: Tiada

SP1 turut disoal mengenai penyata saksinya yang merujuk kepada invois bernilai RM60,000 yang dikeluarkan Dynamic Navigation Sdn Bhd kepada Pristine Offshore – beliau mengesahkan bahawa jumlah itu untuk perkhidmatan perundingan yang diberikan oleh Dynamic kepada Pristine Offshore.

Namun, beliau mengakui tiada bukti bertulis yang mengarahkan pembayaran tersebut dibuat.

Ketika ditanya mengenai pembayaran sebanyak RM60,000 yang dikatakan dibayar kepada seorang individu bernama Mazrin, saksi mengakui tiada arahan bertulis atau bukti kukuh yang menunjukkan wang tersebut diserahkan.

Terdahulu, media melaporkan, Chew Ben Ben, yang ketika itu memegang jawatan pengarah Pristine Offshore didakwa telah secara rasuah memberikan kepada Ketua Pegawai Operasi Deleum Primera Sdn Bhd satu suapan wang berjumlah RM207,850 sebagai dorongan bagi memastikan projek yang dianugerahkan “berjalan lancar.”

Dia bagaimanapun mengaku tidak bersalah.

Pada prosiding hari ini tertuduh diwakili peguam Tan Sri Dzulkifli Ahmad dan Bernard Francis manakala Timbalan Pendakwa Raya diwakili Law Chin How.

BBerkaitan

Latest articles