Kes Pertama Omicron Berpunca Babitkan Pelajar Pulang Dari Afrika Selatan

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini mengesahkan kes pertama varian dibimbangi (VOC), Omicron, yang membabitkan seorang pelajar yang mempunyai rekod perjalanan dari Afrika Selatan.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin memaklumkan pelajar terbabit sudah diarah menjalani kuarantin diri.

Dalam sidang media hari ini, beliau memberitahu semua saringan kepada kontak rapat individu berkenaan juga sudah dijalankan dan keputusannya adalah negatif.

“Pelajar sebuah universiti swasta di Ipoh berusia 19 tahun itu, tiba dari Afrika Selatan melalui Singapura pada 19 November lalu dan menjalani ujian Rt-PCR setibanya di KLIA.

“Susulan ujian itu, pelajar terbabit diperintah menjalani pengawasan dan pemerhatian mengikut Seksyen 15, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342) dan menjalani kuarantin wajib di penginapan yang disediakan oleh pihak universiti di Ipoh.

“Perjalanan kes dari KLIA ke Ipoh pula menggunakan bas yang disediakan khas oleh pihak universiti. Pelajar terbabit menjalani kuarantin seorang diri di penginapan tersebut dan berdasarkan siasatan yang dijalankan, beliau patuh kepada perintah yang dikeluarkan,” katanya.

Khairy berkata, Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) mengesahkan sampel; ujian saringan tersebut positif COVID-19 dengan Ct Value 26.68 pada 20 November.

Menurut Khairy, pelajar terbabit meneruskan kuarantin di rumah sama selama 10 hari dan diberi pelepasan pada 29 November.

“Pengesanan kontak rapat dijalankan terhadap semua penumpang dan pemandu bas iaitu seramai lima orang. Mereka juga menjalani saringan ujian COVID-19 dan kuarantin wajib.

‘Ujian sampel pertama dan kedua ke atas semua kontak rapat disahkan negatif,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles