Kes Juruterbang Ditahan Di Jakarta: Malaysia Dapat Akses Siasatan

SUBANG: Malaysia kini boleh menjalankan siasatan secara langsung terhadap juruterbang rakyat negara ini yang ditahan di Jakarta berhubung dakwaan membawa masuk dadah, selepas pihak berkuasa Indonesia memberikan akses kepada pasukan penyiasat.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata kebenaran itu membolehkan pegawai penyiasat Malaysia mengambil keterangan daripada juruterbang terbabit serta mendapatkan maklumat berkaitan kes berkenaan.

Bagaimanapun, beliau berkata proses berkenaan masih berjalan dan belum sampai ke peringkat untuk didedahkan secara terperinci kepada umum.

Katanya, beliau sudah menerima perkembangan awal daripada Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan mengenai siasatan yang sedang dijalankan.

“Proses masih berjalan. Kita beri ruang kepada pasukan penyiasat untuk melengkapkan siasatan terlebih dahulu sebelum sebarang perkembangan baharu dikongsikan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri majlis penyerahan Helikopter AW189 kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di Stesen Udara Maritim Subang, semalam.

Dalam perkembangan sama, Saifuddin berkata kerajaan turut mengambil langkah susulan bagi memastikan kawalan keselamatan di semua lapangan terbang negara diperkukuhkan.

Beliau berkata satu pelan penambahbaikan yang merangkumi langkah keselamatan secara menyeluruh dijangka dibawa ke mesyuarat Kabinet Rabu depan.

Menurutnya, Ketua Setiausaha KDN, Datuk Dr Awang Alik Jeman, sebelum ini mengetuai mesyuarat membabitkan beberapa agensi bagi mengenal pasti langkah yang perlu diambil.

Saifuddin berkata tempoh dua minggu diberikan bermula minggu lalu bagi memuktamadkan pelan berkenaan.

“Sekiranya tiada perubahan pada jadual, saya akan membawa pelan ini ke mesyuarat Kabinet akan datang bersama Menteri Pengangkutan,” katanya.

Sebelum ini, seorang juruterbang warga Malaysia berusia 39 tahun ditahan pihak berkuasa Indonesia pada 29 Julai selepas disyaki terlibat dalam kegiatan penyeludupan dadah.

Suspek dilaporkan menaiki penerbangan Malaysia Airlines MH727 dari Kuala Lumpur ke Jakarta sebelum diberkas di Terminal 3, Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta.

Dalam operasi itu, pihak berkuasa Indonesia dilaporkan menemukan lebih 70,000 pil ekstasi dengan anggaran berat keseluruhan 25 kilogram.

BBerkaitan

Latest articles