AI Mampu Tingkat Sosioekonomi Usahawan India Malaysia – Jaggarao

KUALA LUMPUR: Teknologi kecerdasan buatan (AI) berpotensi mengubah landskap perniagaan komuniti India di Malaysia, sekali gus membantu meningkatkan pendapatan sosioekonomi usahawan serta keluarga mereka.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Agenda Suria Communication Sdn Bhd (ASC), Jaggarao Simancha berkata, penggunaan teknologi AI mampu membuka peluang baharu kepada usahawan India untuk mengembangkan perniagaan dan meningkatkan daya saing dalam era digital.

Menurutnya, beliau melihat perkembangan teknologi berkenaan sebagai satu peluang besar yang perlu dimanfaatkan bagi membantu komuniti perniagaan India di negara ini bergerak lebih maju.

“Saya sangat teruja dengan perkembangan teknologi AI yang bakal membawa banyak perubahan.

“Saya fikir teknologi ini, jika dimanfaatkan sepenuhnya, mampu mengubah keseluruhan landskap komuniti India di Malaysia, khususnya golongan usahawan.

“AI boleh menjadikan kita lebih maju dan membantu meningkatkan pendapatan sosioekonomi mereka serta keluarga masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Karnival Deepavali 2026 di Bukit Jalil, di sini, malam tadi.

Majlis itu turut dihadiri Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Yuneswaran Ramaraj.

Dalam pada itu, Jaggarao berkata, Karnival Deepavali anjuran ASC yang bermula pada 2002 dengan hanya 40 tapak gerai kini berkembang menjadi antara festival beli-belah masyarakat India terbesar di luar India.

Menurutnya, penganjuran tahun ini menampilkan kira-kira 434 tapak gerai dan lazimnya menerima antara 300,000 hingga 400,000 pengunjung setiap kali berlangsung.

Beliau berkata, karnival berkenaan bukan sahaja menjadi tumpuan masyarakat India, malah turut menarik pengunjung daripada pelbagai kaum termasuk Melayu dan Cina.

Katanya, rekod penganjur menunjukkan kira-kira 20 hingga 25 peratus pengunjung yang hadir bukan daripada komuniti India.

“Sepanjang 25 tahun lalu, kita berbangga kerana berjaya membantu melahirkan lebih 3,000 usahawan kecil India di negara ini.

“Karnival ini menyediakan platform kepada peniaga kecil untuk mengembangkan perniagaan masing-masing, termasuk daripada peringkat mikro sehingga mampu berkembang menjadi perusahaan kecil dan sederhana (PKS),” katanya.

Jaggarao berkata, penganjuran karnival itu juga berkembang daripada Brickfields ke Bukit Jalil pada 2012 berikutan kekangan ruang dan masalah kesesakan trafik.

Tambahnya, lokasi berkenaan terbukti mampu menarik pengunjung dari dalam dan luar negara termasuk Indonesia, Filipina, Vietnam, Thailand serta Australia.

Beliau berharap sokongan kerajaan terhadap penganjuran karnival berkenaan dapat diteruskan bagi membuka lebih banyak peluang kepada usahawan India tempatan untuk mengembangkan perniagaan ke peringkat lebih tinggi.

BBerkaitan

Latest articles