Kerajaan Beritahu Rakyat Tak Perlu Panik, Harga Ayam Tak Naik Mendadak

KUALA LUMPUR: Meskipun langkah penamatan subsidi dan kawalan harga ayam akan dikuatkuasakan Rabu ini, kerajaan memberi jaminan kenaikan harga tidak akan berlaku secara mendadak.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, bekalan sumber protein itu juga mencukupi buat masa ini dan masa hadapan.

Malah padanketika ini rata-rata peniaga menjual ayam dengan harga jauh lebih rendah daripada harga siling ditetapkan sejak Februari 2022.

“Oleh itu, kalau berlaku pengapungan kita berkeyakinan harganya tidak akan naik mendadak, ia akan stabil, kalau naik mendadak kita akan tanya kenapa, sebab bekalan cukup.

“Yang selalu naik mendadak bila bekalan tidak cukup, sekarang pihak pembekal jamin bahawa bekalan cukup dan kalau tak cukup kita siap sedia bawa dari luar dengan segera,” katanya pada sidang media penamatan kawalan harga dan subsidi ayam di Ibu Pejabat Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), hari ini.

Sementara itu Mohamad menjelaskan, rasional penamatan subsidi secara pukal adalah untuk mengurangkan ketirisan subsidi yang turut dinikmati oleh warga asing dan golongan berpendapatan tinggi.

Beliau turut meminta orang ramai supaya tidak membuat pembelian panik dalam tempoh beberapa hari ini.

Ditanya rasional subsidi dan kawalan harga telur masih diteruskan, Mohamad berkata jika subsidi berkenaan ditamatkan, harga telur dijangka naik lebih kurang 10 sen sebiji.

“Tapi penternak jamin mereka juga akan mencukupkan telur pada masa akan datang dan kerajaan akan buat pengumuman dari semasa ke semasa,” ujarnya.

BBerkaitan

Latest articles