Kerajaan Bakal Perkenal Aplikasi ‘Rider’ Hantar Hasil Dari Luar Bandar

Satu lagi inisiatif kerajaan membantu pengusaha produk pertanian dan perikanan di luar bandar adalah dengan memperkenalkan aplikasi ‘rider’ atau penunggang penghantar barangan yang menyerupai khidmat sedia ada ketika ini.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata usaha ini dapat meningkatkan produktiviti pengusaha di luar bandar dan membantu pemasaran kepada pengguna dan pusat jualan di kawasan bandar.

“Kita merancang membentuk pasukan ‘rider’ sendiri supaya produk pertanian dan perikanan dapat dihantar dengan cepat kepada pelanggan dan pusat jualan.

“Sekarang memang ada individu bertindak sebagai penghantar produk pertanian tetapi kita mahu meningkatkan perkhidmatan dengan memanfaatkan teknologi seperti Grab Food dan Foodpanda,” katanya sambil menegaskan aplikasi terbaharu itu nanti bukan untuk menyaingi khidmat sedia ada.

Tambah Wan Junaidi, Tabung Wkonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) yang juga agensi di bawah kementeriannya berperanan menyediakan pembiayaan kepada penunggang penghantar barangan untuk membeli kenderaan apabila menyertai perkhidmatan itu nanti.

Bank Rakyat, ujar Wan Junaidi akan menyediakan perkhidmatan bank bergerak di kawasan yang tidak mempunyai kemudahan bank di luar bandar Sarawak.

“Bank Rakyat membuat kajian dan penelitian kawasan untuk diadakan perkhidmatan itu berlandaskan cadangan Pengarah Bank Negara cawangan Sarawak.

“Kerajaan Sarawak membantu menampung pembiayaan untuk mendapatkan bas bagi kegunaan Bank Rakyat menyediakan perkhidmatan bank bergerak itu,” katanya.

Sehingga kini TEKUN Nasional membiayai 28, 664 usahawan dengan peruntukan berjumlah RM423.6 juta pada tahun lalu.

“Dalam tempoh Januari hingga 10 Jun tahun ini, TEKUN Nasional membiayai seramai 27,644 usahawan dengan pembiayaan berjumlah RM257.9 juta.

“Daripada jumlah itu, sejumlah 6,572 individu dengan nilai RM95.7 juta adalah pinjaman TEKUN biasa manakala skim Pemulihan Perniagaan Mikro COVID-19 (CBRM) membabitkan 21,072 usahawan dengan nilai pembiayaan RM162.9 juta,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles