KUALA LUMPUR — Dakwaan berhubung kemungkinan berlaku ketidakpadanan antara dokumentasi bil muatan (bill of lading, BL) dan pergerakan fizikal kargo dalam rantaian bekalan petroleum di Pelabuhan Tanjung Langsat, Johor perlu diberi perhatian serius oleh pihak berkuasa berkaitan bagi memastikan integriti sistem perdagangan dan logistik negara terus terpelihara.
Menurut sumber industri, aduan yang dikemukakan berkaitan kemungkinan wujud percanggahan antara dokumentasi penghantaran dan pergerakan sebenar kargo melibatkan transaksi bernilai jutaan ringgit.
Bagaimanapun, setakat ini tiada sebarang pengumuman rasmi daripada pihak berkuasa mengenai hasil siasatan atau sebarang penemuan yang mengesahkan berlakunya kesalahan.
Pemerhati industri berpandangan bahawa isu melibatkan integriti dokumentasi maritim dan perdagangan komoditi semakin mendapat perhatian susulan peningkatan kerumitan transaksi rentas sempadan, khususnya dalam sektor petroleum dan tenaga.
Pada 13 Mei lalu, Ketua Pegawai Eksekutif Maritime Network Sdn Bhd, Datuk Seri Jeyenderan Ramasamy berkata ketidakselarasan antara dokumentasi bil muatan dan pergerakan fizikal kargo merupakan antara risiko operasi serta pematuhan yang semakin ketara dalam industri perkapalan global.
Beliau menjelaskan bahawa bil muatan memainkan peranan penting dalam urusan perbankan, insurans, pengisytiharan kastam, pemilikan kargo serta pelbagai keperluan pematuhan antarabangsa.
“Risiko terbesar berlaku apabila dokumentasi dan pergerakan sebenar kargo tidak lagi selari. Sebarang ketidakpadanan boleh mewujudkan risiko pematuhan, pertikaian komersial serta menjejaskan keyakinan terhadap rantaian logistik,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, cabaran itu menjadi lebih kompleks dalam perdagangan petroleum yang melibatkan pelbagai pihak termasuk pedagang, penerima kargo, operator terminal, ejen penghantaran dan penyedia logistik.
Katanya, setiap pihak mungkin beroperasi berdasarkan maklumat atau arahan yang berbeza, sekali gus meningkatkan risiko ketidakselarasan antara rekod dokumentasi dan operasi sebenar.
Jeyenderan turut menjelaskan bahawa amalan seperti pemindahan, pencampuran (blending) dan penyimpanan produk petroleum selepas pelepasan kargo bukan sesuatu yang luar biasa dalam industri. Namun, proses tersebut memerlukan tahap kebolehkesanan (traceability) dan kawalan dokumentasi yang tinggi bagi memastikan pematuhan terhadap keperluan peraturan serta komersial.
Beliau berkata, sekiranya rekod kastam, dokumen bil muatan, ukuran tangki simpanan dan kedudukan sebenar kargo tidak lagi selaras, ia boleh menimbulkan risiko ketirisan hasil, pertikaian perdagangan dan isu pematuhan yang lebih luas.
Sehubungan itu, beberapa pihak dalam industri menggesa agar sebarang dakwaan berkaitan ketidakpadanan dokumentasi dan pergerakan kargo disiasat secara menyeluruh oleh agensi berkaitan bagi memastikan ketelusan, akauntabiliti dan keyakinan terhadap ekosistem perdagangan negara terus terpelihara.
Mereka turut menegaskan bahawa semua pihak yang terlibat berhak mendapat layanan adil dan dianggap tidak bersalah sehingga sebarang kesalahan dibuktikan mengikut proses undang-undang yang sewajarnya.










