KUALA LUMPUR: Kemerdekaan sebenar bagi sesebuah negara dan umat hanya akan dicapai apabila manusia berada di bawah pemerintahan Allah SWT serta membebaskan diri daripada diperhambakan oleh sesama makhluk.
Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang menegaskan, Al-Quran telah menyatakan makna kemerdekaan sebenar iaitu mengabdikan diri secara mutlak kepada Pencipta dan menafikan sebarang bentuk kezaliman serta pemerintah yang melampaui batas (taghut).
Menurut beliau, para Rasul diutus untuk menegakkan konsep kemerdekaan berkenaan supaya manusia tidak diperhambakan oleh pihak yang berlagak berkuasa, sama ada pemerintah individu seperti Firaun dan Namrud, kumpulan pemuka (al-mala’), mahupun kalangan agamawan.
“Maka, makna kemerdekaan itu hanya memperhambakan diri kepada Allah sahaja dan menafikan yang lain daripada-Nya. Perkara ini disimpulkan dalam dua kalimah syahadah.
“Manusia bebas dan merdeka di bawah pemerintahan Allah Yang Maha Mengetahui sempadan fitrah manusia yang selamat. Sebarang langkah melampaui sempadan fitrah yang merosakkan bukannya bebas atau merdeka, tetapi dinamakan terbabas yang membawa kerosakan hidup manusia dan alam sekitarnya,” katanya dalam kenyataan Minda Presiden PAS bertajuk ‘Apa Makna Kemerdekaan’ pada Jumaat.
Mengulas sejarah tanah air, beliau menjelaskan bahawa kedatangan Islam ke Nusantara telah menghapuskan fahaman bertuhankan raja, sami, dan berhala, sekali gus membebaskan rakyat daripada perhambaan.
Bagi Semenanjung Tanah Melayu, Islam menjadi ajaran yang berkuasa memerintah negara berdaulat sehingga perkataan ‘Melayu’ menjadi seerti dengan ‘Islam’.
Walau bagaimanapun, beliau berpandangan negara masih belum mencapai kemerdekaan secara sempurna kerana kesan pengaruh pemikiran penjajah masih bertapak dalam fikiran sebahagian umat Islam.
“Kita telah mencapai kemerdekaan daripada penjajah asing apabila majoriti Ahli Parlimen menerima syarat-syarat yang ditetapkan oleh penjajah yang tidak dapat merungkai ikatan pengaruhnya, lalu tetap menjadikan kita belum merdeka sepenuhnya dengan sempurna.
“Apa yang menjadi masalah apabila masih ada kalangan yang mentafsirkan Islam mengikut perkataan religion bahasa penjajah, bukan al-din dalam bahasa al-Quran. Hal ini menjadikan Islam tidak sempurna pelaksanaannya, di samping masih ada perkara menghalang yang dicatat dalam perlembagaan yang wajib dimansuhkan,” tegas beliau.
Beliau turut mengingatkan bahawa perpaduan Melayu yang membawa konsep kemanusiaan adil kepada semua sering dituduh secara salah sebagai radikal oleh pihak yang tidak memahami Al-Quran.
Dalam pada itu, beliau membidas kemunculan fahaman seperti Islam liberal dan Islam progresif yang menyimpang daripada ajaran asal.
“Mereka juga menipu dengan membawa Islam yang salah berserta istilah yang menarik seperti Islam liberal sehingga mengheret di luar sempadan halal dan haram, begitu juga Islam progresif yang hanyut bersama arus perubahan yang merosakkan,” katanya.
Menyentuh perkembangan antarabangsa, Presiden PAS menggariskan beberapa siri kezaliman dan penindasan yang menimpa gerakan serta pimpinan Islam di peringkat global selepas era kemerdekaan.
Beliau memetik sejarah Turkiye yang menyaksikan Perdana Menteri Adnan Menderes digulingkan dan dihukum gantung, manakala Parti Penyelamat Negara (Milli Selamet Partisi) serta Parti Sejahtera (Refah Partisi) pimpinan Najmuddin Erbakan diharamkan berulang kali kerana berusaha mengembalikan negara kepada Islam.
“Adapun Recep Tayyip Erdogan diterima kerana mengekalkan konsep sekularisme dalam Perlembagaan Turkiye melalui ikatan perjanjian.
“Selanjutnya di Indonesia, Parti Islam Majelis Syuro Muslimin Indonesia (Masyumi) yang pernah memimpin kabinet pemerintahan turut diharamkan pada tahun 1960,” katanya.
Beliau turut menarik perhatian mengenai Revolusi Islam Iran 1979 yang menumbangkan monarki Shah dan melakukan islah pentadbiran, namun tetap dikepung oleh sokongan negara Barat.
Selain itu, kemenangan gerakan Hamas yang memperoleh 74 daripada 132 kerusi dalam Pilihan Raya Perundangan Palestin 2006 turut menerima nasib sama apabila keputusan demokratik itu tidak diiktiraf serta dinafikan keanggotaannya dalam Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Liga Arab.










