‘Kemenangan’ Najib Semalam Bukan Alasan Untuk Anwar Letak Jawatan

KUALA LUMPUR: Tidak perlu mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meletakkan jawatan atas isu titah adendum membabitkan Datuk Seri Najib Razak.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim berkata pihak yang perlu bertanggungjawab atas dakwaan cuba menidakkan kewujudan titah adendum supaya bekas Perdana Menteri itu menghabiskan baki hukumannya sebagai tahanan rumah adalah Pejabat Peguam Negara.

“Pihak yang patut menjawab di mahkamah bukan Anwar Ibrahim, tetapi peguam negara atau wakilnya dari Jabatan Peguam Negara.

“Apakah kita mahu Anwar campur tangan dalam kerja-kerja profesional peguam-peguam kerajaan yang disebut ‘Federal Counsel’ dan peguam negara di Jabatan Peguam Negara?” soalnya.

Dalam pada itu Hassan menyifatkan apa yang dilakukan Anwar adalah jelas menghormati kebebasan kehakiman.

Selain dikatakan keputusan Mahkamah Rayuan semalam sebagai ‘kemenangan’ untuk Najib, Hassan juga percaya perkembangan semalam juga menunjukkan badan kehakiman negara sebagai “menang nyata”.

“Tetapi, yang jelas menang secara nyata ialah institusi kehakiman.

“Dengan keputusan 2-1 hakim-hakim Mahkamah Rayuan telah menunjukkan bahawa keputusan kerajaan iaitu badan eksekutif termasuk Lembaga Pengampunan boleh dicabar dan disemak di mahkamah. Prinsip pemisahan kuasa berjalan baik di Malaysia,” katanya dalam kenyataan.

Beberapa pihak mula menuntut Anwar meletakkan jawatan selepas mendakwa kerajaan cuba menafikan dan menyembunyikan kebenaran wujudnya titah adendum.

Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari mendakwa kerajaan tidak jujur dan mencabul hak Najib mendapatkan perbicaraan dan keadilan yang adil.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin pula menuduh Anwar sengaja menyembunyikan titah itu, sambil mendakwa beliau menafikan titah Agong yang merupakan penderhakaan besar kepada Raja dan negara.

Semalam, sidang tiga hakim di Mahkamah Rayuan, dalam keputusan majoriti 2-1, membenarkan permohonan Najib untuk mengemukakan keterangan baharu apabila merit kes diperdengarkan di Mahkamah Tinggi.

BBerkaitan

Latest articles