Kemarahan Pengundi Melayu Terhadap UMNO Ibarat Api Bakar Jerami

KUALA LUMPUR: Bukan sahaja ahli-ahli dan penyokong UMNO, kemarahan dan kebencian pengundi Melayu terhadap parti itu semakin menyerlah sejak kekalahannya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) minggu lalu.

Bahkan bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan keadaan tersebut umpama “api membakar jerami”, sekaligus meletakkan parti berkenaan dalam satu keadaan yang sukar.

Menurut Ismail Sabri, pucuk pimpinan parti perlu mendengar desakan akar umbi, termasuk melepaskan jawatan bagi memulihkan imej UMNO selepas prestasi terburuk itu.

Ahli Parlimen Bera itu berkata, UMNO pada hari ini amat memerlukan kepimpinan dinamik dan berkebolehan bagi mengembalikan idealisme perjuangan parti.

UMNO hanya menang 14 kerusi di Negeri Sembilan, masing-masing dua kerusi di Selangor dan Pulau Pinang, hanya satu kerusi di Kelantan, daripada 108 kerusi yang ditandingi di enam pilihan raya negeri itu.

“UMNO telah mencatatkan prestasi terburuk, hilang pengundi teras, dianggarkan hanya 27% pengundi Melayu yang mengundi gabungan Barisan Nasional/Pakatan Harapan. Gabungan PAS, Bersatu dan Gerakan yang dikenali sebagai Perikatan Nasional berjaya menarik 73% sokongan pengundi Melayu pada PRN ini.

“Pengaruh UMNO di Malay Belt atau lingkaran Melayu – Kedah, Kelantan dan Terengganu – sangat kritikal seperti pesakit di ICU. UMNO hanya mampu menang satu kerusi, hilang 20 kerusi jika dibandingkan dengan PRU14.

“Lebih membimbangkan trend kemerosotan undi Melayu kepada UMNO kini turut merebak ke Negeri Sembilan. Satu-satunya negeri yang tidak terjejas dengan gelombang peralihan undi Melayu dalam PRU15, kini turut menerima tempiasnya,” demikian memetik tulisannya di dalam kolum Utusan Malaysia, hari ini.

Bekas Perdana Menteri itu juga mendakwa UMNO pada hari ini seperti terpaksa bergantung kepada undi bukan Melayu untuk menang, sedangkan keadaan tersebut tidak pernah berlaku sebelum ini.

“Jangan membiarkan nasib UMNO persis MCA dan Gerakan yang terpaksa berpapah kepada undi Melayu untuk memenangi sebarang kerusi dalam pilihan raya.”

Ismail Sabri juga percaya faktor penolakan pengundi Melayu terhadap UMNO bukan kerana ia menyimpang daripada idealisme perjuangan asal.

“Lebih parah kepimpinan UMNO memusnahkan Muafakat Nasional yang menjadi harapan umat Melayu terhadap penyatuan ummah. Lebih buruk apabila kepimpinan tertinggi mengheret UMNO untuk bersama DAP, malah menggesa jentera bekerja dan mengundi parti itu.”

Sehubungan itu, UMNO memerlukan perubahan drastik dari segi pendekatan, menjual naratif boleh diterima rakyat dan perubahan kepimpinan untuk terus relevan dalam arus politik negara.

UMNO juga perlu mengubah cara ia berkempen, di mana jenteranya perlu mendekati pengundi atas pagar dan parti lawan, bukannya “berdakwah” kepada ahli sendiri, selain menguasai media sosial sepenuhnya.

“Sejarah telah mengajar kita. Lihat kembali bagaimana dan kenapa UMNO ditubuhkan 77 tahun lalu. Semoga parti yang saya cintai ini bukan sahaja bangkit, malah kembali memimpin negara.”

BBerkaitan

Latest articles