Keahlian UMNO gugur automatik jika jadi calon parti lawan

KUALA LUMPUR: UMNO tidak akan bertolak ansur terhadap tindakan-tindakan khianat oleh mana-mana ahlinya.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, UMNO memecat secara automatik ahli-ahli yang menjadi pencadang dan penyokong kepada calon parti lawan sepanjang kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) berlangsung.

“Keahlian mereka di dalam UMNO dengan ini tergugur secara automatik sesuai dengan Fasal 20.11 Perlembagaan UMNO.

“Ingin ditegaskan, berdasarkan Fasal 20.11 ini, UMNO akan memantau secara berterusan sekiranya terdapat mana-mana ahli yang terlibat dengan aktiviti menyokong calon parti lawan, sepanjang tempoh kempen PRU15 dan tindakan memecat keahlian mereka akan diambil serta-merta,” katanya menerusi kenyataan yang dimuatnaik di laman Twitter hari ini.

Ahmad Maslan menerusi kenyataan itu turut memaklumkan, UMNO sudah meneliti senarai calon yang mengemukakan pencalonan dan diterima oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi menyertai PRU15.

Katanya, berdasarkan laporan diterima, terdapat ahli UMNO menjadi calon, pencadang dan penyokong kepada parti lawan.

Ahli UMNO yang dilaporkan bertanding atas tiket parti lawan dan tampil sebagai calon Bebas pada penamaan calon PRU15 kali ini adalah penyandang kerusi Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim dan penyandang kerusi Parlimen Maran, Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib.

Kedua-dua pemimpin UMNO itu bertindak mempertahankan kerusi masing-masing atas tiket Perikatan Nasional (PN).

Sementara itu, penyandang kerusi Parlimen Padang Besar, Datuk Zahidi Zainul Abidin turut bertanding atas tiket Bebas.

 

BBerkaitan

Latest articles