SIBU: Seorang kanak-kanak lelaki berusia kira-kira lima tahun meninggal dunia selepas dipercayai menjadi mangsa kejadian kelar di sebuah rumah di Jalan Rantau Panjang Jaya, petang tadi.
Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad, mengesahkan seorang lelaki berusia lewat 40-an ditahan bagi membantu siasatan berhubung kejadian itu.
Menurut beliau, suspek dipercayai mempunyai hubungan kekeluargaan dengan mangsa.
Bagaimanapun, pihak polis belum mendedahkan butiran lanjut mengenai kejadian termasuk motif atau punca insiden tersebut.
“Setakat ini, pihak kami telah menjalankan siasatan awal di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi pemberita.
Mangsa kemudiannya dibawa ke Unit Kecemasan Hospital Sibu untuk menerima rawatan, namun disahkan meninggal dunia.
Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian serta keadaan yang membawa kepada kematian kanak-kanak berkenaan.










