Kamu Nak Tuduh Aku Alat Cina, Buktikan Apa Yang Aku Buat – Anwar

JOHOR BAHRU: Perdana Menteri, Anwar Ibrahim menolak dakwaan kononnya beliau menjadi “alat Cina”, sebaliknya menegaskan setiap dasar Kerajaan MADANI dilaksanakan berasaskan kepentingan seluruh rakyat tanpa mengira kaum.

Ketika berucap pada kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor malam tadi, beliau mencabar pihak yang membuat tuduhan tersebut supaya mengemukakan bukti bahawa kerajaan hanya memberi kelebihan kepada masyarakat Cina.

“Kamu nak tuduh aku alat Cina, bagi tahu apa yang saya buat. Apa yang saya beri khusus untuk pendidikan orang Cina atau apa sahaja kelebihan yang menunjukkan saya menyerah kepada Cina?” katanya.

Anwar berkata, hubungannya dengan Democratic Action Party (DAP) tidak bermaksud beliau mengutamakan mana-mana kaum, malah menegaskan kerjasama itu lebih penting bagi menjamin kestabilan negara.

Menurut beliau, Malaysia hanya mampu terus maju sekiranya politik perkauman dan sikap ekstrem dihentikan.

“Bagi saya lebih selamat, lebih baik, lebih ada integriti berkawan dengan DAP daripada parti Cina mereka.

Negara ini boleh selamat dan boleh hebat, syaratnya hentikan rasisme dan sikap pelampau,” katanya.

Dalam masa sama, beliau mempertahankan rekod kerajaan dalam memelihara kepentingan orang Melayu, termasuk usaha memulihkan tanah Rizab Melayu yang didakwa terlepas ketika pentadbiran terdahulu.

Anwar berkata, Kerajaan MADANI berjaya memulihkan kira-kira 50 hektar tanah Rizab Melayu, sambil menegaskan pembangunan kaum lain tidak seharusnya dihalang atas alasan politik.

Beliau turut menjelaskan tambahan pembiayaan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bukan bertujuan memanfaatkan satu kaum semata-mata, sebaliknya kerana sektor tersebut merupakan pemacu utama ekonomi negara serta menyediakan peluang pekerjaan kepada ramai rakyat Malaysia, termasuk orang Melayu.

Menurutnya, kerajaan juga meneruskan pelbagai inisiatif untuk membantu masyarakat Melayu seperti program pendidikan dan bantuan kepada golongan memerlukan, selain memperluaskan sokongan kepada masyarakat India melalui penambahan peruntukan serta program berkaitan.

Menyentuh peluang pendidikan, Anwar berkata kerajaan memperkenalkan dasar baharu yang membolehkan pelajar cemerlang memperoleh keputusan semua A ditawarkan tempat secara automatik ke institusi pengajian tinggi awam.

Pada masa sama, beliau berkata kerajaan tetap menyediakan kuota bagi memastikan pelajar Melayu, khususnya dari kawasan luar bandar dan pedalaman yang berdepan kekangan pendidikan, tidak tercicir daripada mendapat akses ke pendidikan tinggi.

Mengakhiri ucapannya, Perdana Menteri menggesa rakyat mengamalkan semangat muafakat dan saling menghormati sebagai sebuah keluarga Malaysia.

“Mengapa kita tidak boleh berunding sebagai sahabat, sebagai adik-beradik, dan bekerja bersama sebagai rakyat Malaysia? Mengapa perlu ada begitu banyak kebencian?” katanya.

BBerkaitan

Latest articles