Jual Ayam RM8? Kerajaan perlu Berbincang dengan Pembekal kata Peniaga

Kuala Lumpur: Kerajaan perlu berbincang dengan pihak pembekal supaya satu kata sepakat dapat dicapai sebelum melaksanakan paras harga ayam standard pada RM8 sekilogram.

Peniaga ayam di Pasar Chow Kit si sini, Halim Idris, 58, berkata, kemampuan peniaga ayam menjual bahan mentah itu pada RM8 sekilogram bergantung kepada harga ditawarkan pembekal kepada mereka.

“Cadangan itu bagus dan kita boleh jual harga murah kalau pembekal boleh letak harga tidak membebankan kepada kita tetapi masalahnya pembekal hendak jual kepada kita berapa?

“Sekarang ini pun harga ditawarkan pembekal ialah RM7.50. Kalau kita hendak jual RM8 sekilogram dengan untung cuma 50 sen macam mana hendak bertahan sedangkan kita ada kos lain seperti plastik, gaji pekerja, bil api air, pengangkutan dan lain-lain.

“Seelok-eloknya kalau hendak jual RM8 kepada pengguna, pembekal perlu letak harga antara RM6 ke RM6.50 barulah kita boleh bernafas,” katanya kepada Harian Metro.

Tinjauan di sekitar Pasar Chow Kit mendapati kebanyakan peniaga ayam masih menjual bahan mentah itu pada harga siling runcit RM9.40 sekilogram.

Menurut Halim, mekanisme pengurangan harga sewa premis atau secara percuma tidak bertepatan dalam melaksanakan paras ayam RM8 berkenaan.

“Kalau kerajaan kata kurangkan sewa atau beri percuma premis, tapak sedia ada ini sementara sahaja dan saya memang tidak mengeluarkan sebarang bayaran dan kalau lesen (kurangkan harga atau percuma) cuma berapa ringgit sahaja.

“Jadi sebaiknya kerajaan berbincang terlebih dulu dengan pihak pembekal dan jika mereka bersetuju meletakkan harga berpatutan kepada peniaga, sudah tentu kita mampu jual kepada pengguna pada harga RM8 itu,” katanya lapor harian Metro

Sementara itu, seorang lagi peniaga ayam yang mahu dikenalis sebagai Sazali, 61, turut sependapat bahawa kerajaan perlu berbincang dengan pembekal bagi mewujudkan situasi menang-menang untuk semua pihak berkaitan.

“Sekarang ini ayam datang kepada kita pun dengan harga RM7.50, jadi macam mana kita hendak jual RM8, memang tidak berbaloi dan tidak adil kepada peniaga.

“Tetapi kalau pembekal setuju beri harga rendah daripada sekarang, kita setuju menjualnya RM8 kepada pengguna.

“Ini kerana perlu fikirkan kos-kos lain yang kami tanggung itu belum lagi kerugian lain contohnya ada ayam yang datang ditimbang bersama air dalam plastik terapi kita jual kepada pengguna tetap dengan keadaan ayam itu timbang bersih,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim dilaporkan berkata, harga ayam standard di Kuala Lumpur akan dijual pada harga RM8 sekilogram dalam masa terdekat berbanding RM8.90 sekilogram pada masa kini.

Katanya, ia akan dapat dilaksanakan apabila Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menurunkan sewa mahupun pemberian percuma premis perniagaan bagi membolehkan peniaga menurunkan harga ayam dan barangan lain.

Harga ayam standard di Putrajaya juga akan diturunkan ke paras bawah RM8 sekilogram dalam masa dua minggu akan datang, berbanding RM8.50 sekilogram ketika ini.

Pada 21 Julai lalu, Shahidan turut mengumumkan ayam standard di semua pasar awam di Putrajaya dijual pada harga RM8.50 sekilogram bermula Ogos, lebih rendah daripada harga siling runcit RM9.40 sekilogram.

BBerkaitan

Latest articles