Johari Dilantik Bendahari Agung BN yang baharu

Naib Presiden Umno, Johari Abdul Ghani menggantikan Hishammuddin Hussein sebagai bendahari agung Barisan Nasional (BN).

Pelantikan itu diputuskan dalam mesyuarat Dewan Tertinggi BN yang dipengerusikan Ahmad Zahid Hamidi malam tadi.

Setiausaha Agung BN, Zambry Abd Kadir berkata, dua lagi Naib Presiden Umno, Wan Rosdy Wan Ismail dan Khaled Nordin serta wakil PBRS, Freddy Sua dilantik menganggotai Dewan Tertinggi BN.

Ketua Pemuda Umno, Akmal Salleh dan Ketua Puteri Umno, Nurul Amal Fauzi pula dilantik sebagai wakil sayap itu dalam BN.

Dalam pada itu, Zambry berkata, Dewan Tertinggi BN sebulat suara mempertahankan kerajaan perpaduan yang turut dianggotai BN.

“BN komited untuk bersama-sama membangunkan agenda polisi rakyat terus dilaksanakan.

“BN menyeru semua pemimpin dari pelbagai lapisan masyarakat untuk terus menjaga perpaduan dan keharmonian agar kestabilan politik dapat dijamin.”

Sementara itu  Mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) sebulat suara bersetuju mempertahankan Kerajaan Perpaduan yang turut dianggotai oleh BN.

Setiausaha Agung BN Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, mesyuarat semalam yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi BN, dihadiri semua parti komponen BN di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL).

Beliau berkata, mesyuarat membuat ketetapan untuk komited bersama-sama membangunkan agenda polisi rakyat terus dilaksanakan dan menyeru semua pemimpin daripada pelbagai lapisan masyarakat menjaga perpaduan serta keharmonian agar kestabilan politik dapat dijamin.

“Dewan Tertinggi BN juga dimaklumkan secara mendalam persiapan parti bagi menghadapi Pilihan Raya enam negeri iaitu Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu, Selangor dan Negeri Sembilan.

“Perbincangan juga membabitkan model kerjasama antara BN bersama parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan,” katanya dalam kenyataan yang dikongsikan di laman Facebook BN.

Selain itu, Zambry berkata, Dewan Tertinggi BN juga bersetuju untuk mengambil bahagian dalam Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan pada 14 Mei ini di WTC KL.

BBerkaitan

Latest articles