KUALA LUMPUR: Pemilihan PKR 2022 menyaksikan beberapa pemimpin kanan tewas di cabang masing-masing.
Antara yang mengejutkan kekalahan Datuk Johari Abdul kepada Ooi Tze Min yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bakar Arang.
Johari penyandang jawatan mendapat 464 undi berbanding 567 undi.
Turut tewas Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin kepada penyandang jawatan, Mohd Rafee Ibrahim.
Calon Naib Presiden PKR itu yang berpindah dari Cabang Jasin untuk merebut jawatan di Hang Tuah Jaya tewas tipis apabila memperoleh 379 undi, berbanding Mohd Rafee yang mendapat 488 undi.
Bekas pembantu Anwar Ibrahim, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak yang mencabar Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari di Cabang Gombak kalah dengan hanya memperoleh 1,215 undi.
Amiruddin memperoleh 1,858 undi di cabang yang dulunya dipegang bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang dipecat parti itu.
Sementara itu, dua selebriti yang mencuba nasib di Ampang, Datuk Gerald Hans Isaac dan Syed Ahmad Abdul Rahman Alhadad atau lebih dikenali sebagai Altimet tewas dalam usaha mereka merebut jawatan ketua cabang.
Di cabang Alor Gajah, Datuk Ginie Lim yang sebelum ini digugurkan daripada bertanding dalam Pilihan Raya Negeri Melaka, berjaya menewaskan pesaingnya Ahmad Abdul Wahid untuk jawatan ketua cabang.
Ahli Parlimen Hulu Selangor, June Leow Hsiad Hui kalah kepada Dr Sathia Prakash Nadarajan merebut jawatan Ketua Cabang Hulu Selangor.
June penyandang ketua cabang selama dua penggal memperolehi 1,803 undi, berbanding Dr Prakash menang dengan 1,903 undi.
Dalam pada itu, Bekas Naib Presiden PKR Tian Chua ketinggalan kepada muka baharu, Ahli Parlimen Batu P Prabakaran dalam perebutan jawatan Ketua Cabang Batu dalam Pemilihan PKR 2022.
Keputusan tidak rasmi dikemas kini melalui laman sesawang Pemilihan Keadilan 2022 setakat 8 malam ini menyaksikan Prabakaran, yang pertama kali bertanding dalam pemilihan parti mendapat sebanyak 517 undi manakala Tian Chua memperoleh 306 undi.
Sebelum ini, Tian Chua mengumumkan tidak mempertahankan jawatan naib presiden sebaliknya mahu bertanding jawatan ketua cabang parti.