SEREMBAN: Presiden Parti Wawasan Negara, Datuk Seri Hamzah Zainudin menyifatkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan sebagai medan penting untuk rakyat menentukan hala tuju negeri sama ada mahu meneruskan pentadbiran selari dengan Kerajaan Madani atau memilih perubahan.
Menurut beliau, pilihan itu kini berada di tangan pengundi, sama ada berpuas hati dengan corak pentadbiran Kerajaan Persekutuan yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, atau mengundi bagi membawa perubahan.
“Kalau rakyat tidak mahu mengubahnya, maka bermakna rakyat masih lagi mahu mengekalkan kerajaan yang dipimpin oleh Madani,” katanya ketika berucap pada Majlis Pengisytiharan Calon Perikatan Nasional (PN) Negeri Sembilan di Kompleks PAS Negeri Sembilan (KOMPAS), Kampung Ismail, Ampangan, malam tadi.
Hamzah berkata, sekiranya rakyat benar-benar mahukan kemajuan dan pembaharuan, mereka perlu membuat keputusan untuk mengubah landskap pentadbiran negeri pada pilihan raya kali ini.
Dalam pada itu, beliau turut membangkitkan mengenai kritikan yang semakin lantang dilemparkan terhadap kepimpinan kerajaan Persekutuan, khususnya di media sosial, yang menurutnya mencerminkan rasa tidak puas hati sebahagian rakyat terhadap prestasi pentadbiran semasa.
“Saya tidak pernah, sepanjang berada dalam dunia politik, melihat seorang Perdana Menteri diberikan pelbagai gelaran dan menerima kritikan sedemikian rupa di media sosial. Apa akan jadi kepada negara jika rakyat sudah hilang rasa hormat kepada pemimpin negara?” katanya.
Mengulas perkembangan politik semasa, Hamzah berkata landskap politik negara kini semakin dinamik dan tidak lagi didominasi oleh sebuah parti seperti suatu ketika dahulu.
Beliau berkata, pengundi masa kini semakin matang dan lebih cenderung menilai parti politik berdasarkan keupayaan menawarkan kebajikan rakyat, kestabilan politik, perpaduan serta pembangunan yang seimbang, berbanding sekadar bergantung kepada sentimen kepartian.










