JAN Wajar Di bawah Parlimen, Jamin Kebebasan Audit – Madinah

KUALA LUMPUR: Jabatan Audit Negara (JAN) wajar diletakkan di bawah Parlimen dan tidak lagi berada di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) bagi memastikan kebebasan institusi audit tertinggi negara itu terus terpelihara.

Bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Dr Madinah Mohamad berkata, kedudukan berkenaan penting bagi membolehkan Ketua Audit Negara menjalankan tanggungjawab serta menyatakan pandangan audit secara telus, tanpa rasa takut atau pilih kasih (without fear or favour).

Menurutnya, cadangan itu pernah dikemukakannya sendiri kepada Kabinet menerusi satu kertas cadangan rasmi ketika beliau masih memegang jawatan berkenaan.

“Jabatan Audit Negara sebagai sebuah institusi audit tertinggi (Supreme Audit Institution) mesti bebas.

“Semasa saya masih Ketua Audit Negara, saya telah mengusulkan cadangan kepada Kabinet untuk JAN diletakkan di bawah Parlimen, to be answerable to Parliament, dan bukan di bawah Jabatan Perdana Menteri.

“Ini sangat penting bagi saya supaya seorang Ketua Audit Negara mesti boleh memberi pendapat auditnya without fear or favour,” katanya.

Madinah berkata demikian ketika menjawab soalan peserta pada sesi Musyawarah Nasional 2.0: Realiti dan Persepsi – Jangan Mempolitikkan Tabung Haji, pagi tadi.

Madinah yang menerajui JAN dari Februari 2017 hingga Februari 2019 berkata, struktur pentadbiran di bawah JPM secara tidak langsung boleh mewujudkan keperluan untuk merujuk kepada Perdana Menteri, sekali gus berisiko menjejaskan kebebasan fungsi audit.

Katanya, meletakkan JAN di bawah Parlimen adalah langkah penting bagi memastikan integriti institusi itu terlindung daripada sebarang tekanan atau campur tangan pihak eksekutif.

Bagaimanapun, beliau melahirkan rasa terkilan kerana cadangan berkenaan tidak kelihatan mempunyai tindakan susulan selepas beliau bersara.

“Langkah itu diambil khusus untuk safeguard the independence of the Supreme Audit Institution.

“Tetapi selepas saya bukan lagi Ketua Audit Negara, saya rasa tidak ada susulanlah terhadap kertas cadangan tersebut,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles