Jalaluddin Tolak Dakwaan Derhaka, Tegur Pemimpin PH Jangan Putar Belit Isu Tarik Sokongan MB

JELEBU: Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias menolak dakwaan segelintir pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang melabelkan tindakannya menarik sokongan terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun sebagai satu bentuk penderhakaan.

Menurut beliau, tindakan itu adalah keputusan politik yang ditujukan kepada ketua pentadbiran negeri, bukannya melibatkan institusi diraja, justeru penggunaan istilah “derhaka” disifatkan tidak tepat dan mengelirukan rakyat.

Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pertang itu berkata, penderhakaan hanya boleh dikaitkan dengan Raja atau Undang, bukannya apabila seorang wakil rakyat menarik sokongan terhadap Menteri Besar.

“Ada pemimpin PH kata saya derhaka. Saya cuma tarik sokongan kepada Menteri Besar. Derhaka kepada siapa? Derhaka bukan kepada Menteri Besar, tetapi kepada Raja atau Undang. Jangan salah guna istilah,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Hari Kemahiran Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Bahagian Jelebu di FELDA Pasoh 4, hari ini.

Ahli Parlimen Jelebu itu turut mengingatkan pemimpin PH supaya tidak memutar belit isu berkenaan bagi membentuk persepsi negatif terhadap dirinya dan rakan-rakan yang sebelum ini menarik sokongan kepada pentadbiran negeri.

Katanya, rakyat kini semakin matang dan mampu menilai sesuatu isu tanpa dipengaruhi naratif yang sengaja dibentuk untuk membangkitkan kebencian.

“Jangan ‘spin’ isu ini. Berkali-kali saya ingatkan, jangan tanam rasa benci dalam kalangan rakyat semata-mata mahu menutup kelemahan sendiri.

“Kalau kita yang buat masalah, jangan pula salahkan orang lain apabila keadaan menjadi buruk. Rakyat hari ini sudah bijak menilai,” katanya.

Mengulas insiden beliau disorak dan diboo penyokong PH ketika proses penamaan calon semalam, Jalaluddin menyifatkan tindakan itu tidak mencerminkan semangat demokrasi yang sepatutnya diraikan sepanjang pilihan raya.

Beliau berkata, ketika nama calon PH diumumkan, beliau sendiri memberikan tepukan sebagai tanda menghormati hak setiap parti untuk bertanding, bukannya kerana menyokong mana-mana calon.

“Saya tepuk apabila calon PH diumumkan kerana menghormati proses demokrasi dan hak mereka bertanding. Tetapi apabila nama saya diumumkan, saya pula diboo dan disorak.

“Itu terpulang kepada mereka. Rakyat boleh menilai sendiri sikap dan mentaliti yang dipamerkan. Akhirnya pengundi yang akan menentukan siapa yang layak diberi mandat,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles