KUALA LUMPUR: Kerajaan Johor meminta agensi keselamatan dan penguatkuasaan persekutuan menjalankan semakan serta siasatan menyeluruh berhubung dakwaan kehadiran warga Israel menyertai program Network School di Forest City, dekat Iskandar Puteri.
Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata siasatan berkenaan perlu merangkumi semakan terhadap identiti, dokumen perjalanan termasuk dakwaan penggunaan pasport negara kedua, jenis pas kemasukan, serta keselarasan aktiviti yang dijalankan oleh individu terlibat.
Beliau menegaskan bahawa kerajaan negeri memandang serius kebimbangan rakyat mengenai perkara itu dan tidak akan membenarkan mana-mana pihak menjadikan Johor sebagai tapak untuk membawa ideologi atau gerakan yang bercanggah dengan undang-undang serta kedaulatan negara.
“Sekiranya siasatan mendapati wujud pelanggaran undang-undang, penyalahgunaan pas, pelanggaran syarat lesen atau syarat tanah, atau sebarang unsur yang boleh menjejaskan kepentingan negeri serta keselamatan negara, Kerajaan Negeri menggesa agar tindakan tegas diambil oleh pihak berkuasa tanpa sebarang kompromi,” katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.
Menurut Onn Hafiz, antara agensi persekutuan yang diminta menjalankan siasatan segera ialah Kementerian Dalam Negeri, Jabatan Imigresen Malaysia, Polis Diraja Malaysia, dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia.
Selain agensi keselamatan, beliau berkata Kementerian Pendidikan Tinggi dan Kementerian Digital turut diminta menentukan status sebenar operasi program berkenaan, sama ada ia memerlukan pendaftaran atau kelulusan di bawah undang-undang negara.
Di peringkat domestik, Onn Hafiz berkata agensi negeri termasuk Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) dan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Johor diarahkan menyemak semula aspek pematuhan di bawah bidang kuasa masing-masing.
Ia melibatkan pemeriksaan terhadap syarat lesen premis, penggunaan bangunan, syarat nyata dan khas tanah, penginapan serta aktiviti perniagaan yang dijalankan.
Beliau memberi jaminan kerajaan negeri akan terus bertindak secara bertanggungjawab dan berlandaskan undang-undang demi melindungi kepentingan negeri serta mempertahankan kedaulatan negara.
Baru-baru ini, tular di platform media sosial mengenai kebimbangan orang ramai berhubung penganjuran sebuah program berkonsepkan komuniti dan teknologi di Forest City yang didakwa turut dihadiri oleh peserta dari negara yang tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Malaysia.










