Isu KWAP: Hassan Karim Gesa Anwar Letak Jawatan Menteri Kewangan Susulan Dakwaan Kerugian RM200 Juta

​KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meletakkan jawatan sebagai Menteri Kewangan berikutan dakwaan berlaku kecuaian tadbir urus membabitkan pelaburan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP).

​Beliau berkata gesaan itu dibuat berasaskan prinsip akauntabiliti dan pertanggungjawaban memandangkan dana persaraan penjawat awam itu berada di bawah bidang kuasa Kementerian Kewangan.

​Menurutnya, pengurusan tertinggi serta Panel Pelaburan KWAP didakwa melakukan kecuaian besar sehingga diperdaya sebanyak RM200 juta oleh sebuah syarikat pemula akuakultur di Indonesia yang dikenali sebagai eFishery.

​Hassan menegaskan bahawa Parlimen Malaysia telah menggubal pelbagai akta dan undang-undang bagi membantu pihak eksekutif melaksanakan kawalan kewangan serta tadbir urus yang baik, namun skandal seumpama itu dilihat masih berulang.

​Beliau turut mengingatkan mengenai skandal penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd membabitkan berbilion ringgit sebelum ini, yang sepatutnya menjadi iktibar buat Lembaga Pengarah dan pengurusan tertinggi agensi berkenaan.

​Sehubungan itu, Hassan menyeru Perdana Menteri agar mengarahkan satu siasatan forensik dijalankan dengan kadar segera berhubung isu berkenaan.

​Katanya, sekiranya siasatan mendapati wujud kesalahan fidusari, kecuaian, atau percanggahan dengan prinsip akauntabiliti, tindakan pemecatan terhadap pihak yang bertanggungjawab perlulah dilakukan.

​Hassan, yang juga Ahli Parlimen daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), berkata Anwar perlu menunjukkan contoh teladan yang baik dengan mengambil keputusan berani melepaskan portfolio kewangan tersebut demi menjaga integriti pentadbiran Kerajaan Madani.

BBerkaitan

Latest articles