KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau menyokong penuh langkah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk meneliti dan menyiasat pelaburan Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP) dalam syarikat e-Fishery di Indonesia sekiranya wujud sebarang pelanggaran undang-undang atau unsur rasuah.
​​Anwar, yang juga Menteri Kewangan, menyatakan bahawa arahan telah dikeluarkan kepada pengurusan KWAP untuk memberikan kerjasama sepenuhnya kepada agensi pencegahan rasuah tersebut.
​”Siasatan harus dilakukan. Sebab itu saya menyokong langkah SPRM untuk meneliti sekiranya ada keterlanjuran, percanggahan dari segi hukum, mahupun unsur rasuah.
​”Saya sudah menemui pengurusan KWAP untuk menyatakan harus beri kerjasama sepenuhnya, walaupun melihat pada laporan awal, saya tidak percaya ada unsur-unsur begitu. Tetapi ikut prosesnya, ia harus telus dan harus bertanggungjawab,” katanya ketika sesi Dewan Negara, hari ini.
​Mengulas mengenai pelaburan bernilai RM160 juta dalam syarikat teknologi akuakultur Indonesia, e-Fishery, Anwar menjelaskan keputusan pelaburan berkenaan telah diteliti dengan sangat mendalam menerusi panel pelaburan bebas dan lembaga pengarah KWAP, tanpa memerlukan kelulusan Kementerian Kewangan.
​Meskipun terdapat pendedahan kes penipuan terancang dalam syarikat itu yang membawa hukuman penjara kepada pihak yang bertanggungjawab, Anwar meminta semua pihak melihat prestasi kewangan KWAP secara keseluruhan dan komprehensif.
​”Kita harus menilai dari segi melihat keseluruhannya. Berapa catatan keuntungan bersih KWAP dalam kajian tahun sebelum? Keuntungan bersih atas kepintaran panel pelaburan, pengurusan, dan juga lembaga, keuntungan bersih ialah RM12.9 bilion, iaitu pertumbuhan dana sebanyak 9.3 peratus,” jelas beliau.
​Tambahnya lagi, pelaburan seumpama itu turut disertai oleh firma-firma pelaburan antarabangsa terkemuka dunia seperti Temasek (Singapura), SoftBank, dan Sequoia Capital yang turut menyuntik dana yang jauh lebih besar.
​Dalam masa yang sama, beliau menafikan dakwaan bahawa KWAP hanya memfokuskan pelaburan kepada syarikat pemula (startup) luar negara, sambil menegaskan KWAP juga aktif melabur dalam startup tempatan seperti Betrics, Lapasar, dan Zus Coffee, selain komitmen RM30 bilion di bawah program GEAR untuk memacu syarikat Bumiputera.










